Skip to main content

Bola Sepak

Zidane: Ronaldo setuju kerap direhatkan

ronaldo-270517.jpg
Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menegaskan dia dan Cristiano Ronaldo telah membuat keputusan bersama bahawa bintang Portugal itu memerlukan rehat yang lebih kerap, musim ini. 

Pemain berusia 32 tahun itu telah diturunkan dalam setiap minit untuk membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dalam tempoh dua tahun lalu, namun dia dikecualikan dalam sembilan aksi kempen LaLiga, termasuk lima kali digantikan dalam permainan. 

Ronaldo, yang lebih kerap digunakan sebagai penggempur berbanding pemain sayap pada musim ini, mendedahkan perubahan dalam rutin latihannya bagi memastikan prestasinya di tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan getir dalam tempoh beberapa bulan lalu. 

Meskipun Ronaldo sering mempamerkan riak tidak senang apabila dikeluarkan, Zidane berkata pembabitannya dalam permainan telah diambil kira selepas berbincang mengenai tahap kecergasannya. 

"Sudah tentu, keputusan itu dibuat bersama-sama berdasarkan perbincangan kami," kata Zidane kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA). 

"Kami bijak dan kadang-kala dia perlu kurang beraksi. 

"Bukan kerana dia tidak cergas secara fizikalnya tetapi kerana dia mahu mencapai fasa terakhir musim ini di mana semuanya menjadi sangat genting bagi mengekalkan kemuncak prestasinya. 

"Dia banyak beraksi tahun ini, namun ada masanya dia dipinggirkan bagi membolehkan dia berehat. Kini dia berada di tahap terbaik."

Kaedah itu tampak membuahkan hasil apabila Ronaldo menyumbat enam gol dalam empat perlawanan terakhir liga dan lapan gol dalam empat aksi terakhir saingan Eropah. 

"Seperti yang anda tahu, tiada kata-kata yang boleh menggambarkan Cristiano Ronaldo," kata Zidane lagi. 

"Dia telah memperlihatkan keupayaannya setiap kali berada di atas padang dengan menjaringkan gol. 

"Dia kini sudah meledak lebih 400 gol buat Real Madrid dalam semua pertandingan. Ia satu pencapaian yang sukar dipercayai tetapi dengan dia, tidak mustahil."



 

Advertisement

Must Watch Video