Skip to main content

Bola Sepak

Zidane harap Bale berlatih di Madrid

garethbale.jpg
Zinedine Zidane berharap Gareth Bale menjalani latihan selepas penyerang itu kelihatan sedang bermain golf ketika Real Madrid menghadapi saingan Piala Audi di Jerman.

Laporan di Sepanyol mendakwa Bale telah kelihatan bermain golf ketika Real mengalami kekalahan kepada Tottenham, Selasa lalu, dengan penyerang kelahiran Wales itu tidak tersenarai dalam pasukan ekoran mengalami masalah kesihatan.

Bale dijangka menyempurnakan perpindahan menyertai kelab Liga Super China (CSL), Jiangsu Suning, tetapi tawaran tersebut telah terbatal hujung minggu lalu.

Real bangkit daripada tewas 1-0 kepada Spurs dengan mengatasi Fenerbahce 5-3 awal pagi tadi tetapi Bale kekal sebagai perbualan utama selepas tamat perlawanan.

"Saya tidak tahu apa yang Bale sedang lakukan. Saya di sini bersama pemain-pemain lain," kata Zidane.

"Mengenai Bale bermain golf di Madrid, ia sesuatu yang tidak boleh saya ulas. Kami di sini sedang memikirkan tentang pasukan.

"Kami akan melihat sebaik kami pulang. Saya tidak akan menghalang sesiapa daripada berbuat apa-apa, kami semua memiliki tanggungjawab. Saya tidak akan memasuki kehidupan peribadinya. Dia kekal di Madrid untuk berlatih dan itulah yang saya fikirkan."

Ditekan lagi dengan soalan melibatkan Bale, Zidane berkata, "Soalan lain? Anda tidak boleh memaksa saya untuk menjawab lebih lagi tentang Bale".

Jendela perpindahan CSL sudah tertutup tengah malam tadi, sekali gus menutup peluang Bale mencari jalan keluar selepas enam tahun bersama kelab itu.

Walaupun Real mengatasi Fenerbache 5-3 menerusi hatrik yang disempurnakan Karim Benzema, skuad bimbingan Zidane itu telah bolos 16 gol dalam lima aksi pra-musim.

"Kami akan berusaha memperbaiki kelemahan ini," kata Zidane.

"Tiada pasukan gemar dibolosi tiga gol tetapi kami menang dengan lima jaringan." 

Real bakal turun berdepan Salzburg dan Roma sebelum saingan LaLiga bermula dengan bertemu Celta Vigo, 17 Ogos ini.

Advertisement

Must Watch Video