Skip to main content

Bola Sepak

Zidane hanya pertaruh pemain cergas jumpa Liverpool

hazard.jpg
Eden Hazard tidak akan tergesa-gesa untuk kembali dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) Real Madrid dengan Liverpool, awal pagi esok, demikian kata Zinedine Zidane.

Hazard dibelanggu kecederaan sejak menyertai Madrid daripada Chelsea pada Jun 2019.

Dia hanya membuat 36 penampilan dan 29 kali dalam barisan utama sementara hanya menyumbang empat gol. 

Pemain berusia 30 tahun itu kembali daripada kecederaan pada bulan lalu tetapi terlepas aksi pusingan 16 UCL menentang Atalanta gara-gara masalah pinggul -- Zidane tidak dapat menjelaskan perkembangannya. 

Kecederaan itu memaksanya tersisih daripada skuad Belgium untuk perlawanan antarabangsa baru-baru ini sambil Zidane mengatakan bahawa dia tidak berhajat menurunkan anak buahnya itu menentang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan sekiranya belum cergas 100 peratus. 

"Eden harus tenang," kata pengurus Madrid itu dalam sidang media semalam. 

"Kami tidak mahu mengambil risiko ke atas pemain jika dia tidak sihat.

 

"Kami akan mengambil pendekatan sedikit demi sedikit dan kami akan memantau bilakah dia boleh bersama kami. 

"Saya memerlukan semua pemain saya bersedia dan cergas. Saya gemar kalau pemain saya cergas dan sihat. Saya tidak suka melihat pemain tercedera. Ramai pemain kami yang tercedera musim ini.

"Saya harap Eden dapat kembali. Saya berharap dapat memiliki skuad yang cergas pada akhir musim ini."

Pertembungan awal pagi esok akan menjadi yang pertama di antara kedua-dua pasukan sejak final 2018 yang dimenangi Madrid 3-1 untuk merangkul trofi UCL buat kali ketiga berturut-turut.

Los Blancos telah memenangi pertemuan pertama sebanyak lapan kali daripada sembilan perlawanan peringkat kalah mati UCL, termasuk tiga kemenangan ke atas The Reds.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bagaimanapun, telah memenangi lima perlawanan terakhirnya di peringkat suku akhir UCL termasuk keempat-empat perlawanan di peringkat suku akhir ketika memikul tanggungjawab di The Reds.

Zidane mengagumi pencapaian Klopp di Anfield tetapi tidak berminat untuk meniru kaedah pengurus Jerman tersebut.

"Setiap pengurus ada cara tersendiri. 

"Saya lihat dan belajar untuk menjadi seorang pengurus, sudah tentu saya ada mengkaji tentangnya juga."

Advertisement

Must Watch Video