LALIGA
Zidane akur Madrid kurang motivasi
VALENCIA 2 REAL MADRID 1
Zinedine Zidane berkata kekalahan pertama Real Madrid selepas kepulangannya mungkin disebabkan kekurangan motivasi.
Madrid tewas 1-2 kepada Valencia dalam aksi Laliga di Stadium de Mestalla, awal pagi tadi.
Iklan
Goncalo Guedes dan Ezequiel Garay meletakkan tuan rumah di depan sebelum Karim Benzema menjaringkan gol sagu hati menerusi tandukan dalam waktu kecederaan.
Los Blancos memenangi dua perlawanan pertama Zidane musim ini walapun mereka perlu mengharapkan penyudah lewat Benzema untuk menewaskan Huesca, hujung minggu lalu.
Madrid kini ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, namun masih berkelebihan 11 mata di depan Valencia (kelima) dalam musim yang semakin ke penghujung.
"Mereka akan cuba menamatkan musim ini di kedudukan terbaik.
"Kami akan menghabiskan beberapa bulan untuk membincangkan pelbagai topik.
"Ia mungkin benar kami kekurangan motivasi dalam perlawanan ini.
"Namun, mereka adalah pemain profesional dan apabila mereka menyarung jersi pasukan ini, mereka tahu mereka perlu melakukannya," katanya.
Zidane mengulangi kata-katanya bahawa minggu-minggu terakhir musim ini bukan ujian pemilihan pemain buatnya.
"Ia bukan ujian kerana mereka adalah pemain Real Madrid.
"Kami sedang melalui waktu sukar dan ia tidak akan mengubah apa-apa," tambahnya.
Valencia kini tidak tewas dalam 17 perlawanan dalam kesemua kejohanan dan hanya ketinggalan satu mata untuk memburu slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Ia secara tidak langsung menutup spekulasi mengenai masa depan Marcelino yang kerap diperkatakan awal musim ini.
"Kami berada di tahap terbaik dengan keseimbangan pertahanan," kata Marcelino.
"Kami memperoleh pelbagai peluang, namun menjaringkan gol merupakan tugas paling sukar.
"Kami perlu berbangga dengan pemain kami.
"Apabila anda berdepan pasukan di tahap ini, anda perlu memanfaatkan peluang atau perkara sebaliknya berlaku.
"Pasukan kami telah bertahan dengan baik.
"Saya tidak mahu bercakap tentang perang taktikal.
"Pasukan ini sudah berada di tahap terbaik.
"Kami sudah mula menemui rentak permainan.
"Separuh masa kedua juga bermula baik.
"Kesefahaman dan beraksi secara sepasukan merupakan kekuatan kami," katanya.
Must-Watch Video