LIGA SUPER MSIA
Zaquan tidak peduli dengan kritikan
Penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak, tidak peduli dengan kritikan peminat terhadap aksinya di atas padang dengan bertekad untuk membantu skuad Lang Merah itu meraih kemenangan ke atas Melaka dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Zaquan dilabel sebagai pemain yang "lembik" oleh netizen kerana terlalu mudah terjatuh ketika beraksi.
Bagaimanapun, kapten skuad kebangsaan itu masih mampu menjadi watak penting buat Kedah.
Iklan
Dia meledak gol dalam dua perlawanan terakhir dan kini berazam untuk melakukannya sekali lagi ketika berdepan Melaka.
"Ia satu bonus buat saya untuk menjaringkan gol tetapi pujian wajar diberikan kepada rakan-rakan lain.
"Jika mereka tidak menunjukkan kesungguhan untuk beraksi, mungkin saya tidak akan dapat menjaringkan gol.
"Saya mengambilnya sebagai sumber semangat untuk saya terus bermain dan menjaringkan gol," katanya.
Zaquan menerusi laman media sosial mendedahkan punca dia mudah terjatuh ketika beraksi adalah disebabkan siri kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Namun, pemain berusia 32 tahun itu tidak mahu ia dijadikan sebagai alasan untuk tidak beraksi cemerlang, sebaliknya menegaskan ia sekadar luahan hatinya.
"Tujuan saya mengirimkan ia di Instagram adalah untuk memberikan semangat kepada rakan-rakan lain.
"Setiap orang tidak boleh berputus asa.
"Saya pernah melalui kecederaan yang sangat teruk.
"Untuk bangkit semula, ia sememangnya sukar bagi seorang atlet.
"Saya mempunyai ramai rakan-rakan yang masih cedera seperti Wan Zack Haikal (Wan Noor), jadi saya tidak mahu mereka berputus asa kerana kecederaan itu," tambahnya.
Must-Watch Video