Skip to main content

Bola Sepak

Zabaleta ucap selamat tinggal

17517pablozabaleta.jpg
MANCHESTER CITY 3 WEST BROM 1

Pablo Zabaleta mengucapkan terima kasih kepada kelabnya, Manchester City, kerana menjadikan dirinya seorang pemain yang lebih baik dalam aksi terakhirnya di Stadium Etihad ketika menewaskan West Brom 3-1, awal pagi tadi


City mengumumkan pada minggu lalu bahawa Zabaleta bakal meninggalkan pasukan selepas tamat kontrak pada penghujung musim ini, mengakhiri sembilan tahun masanya bersama skuad The Citizens.

Dalam perlawanan terakhir City di laman sendiri pada musim ini, segala-galanya berubah apabila masing-masing meraikan pemain kebangsaan Argentina itu. Zabaleta telah memenangi lima kejuaran sejak menyertai City pada 2008.

Pemain berusia 32 tahun itu bermula di bangku simpanan sewaktu Gabriel Jesus dan Kevin De Bruyne masing-masing menjaringkan gol dalam separuh masa pertama untuk menghidupkan peluang Manchester City bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Zabaleta masuk menggantikan David Silva pada minit ke-62, lima minit selepas Yaya Toure menjaringkan gol ketiga buat The Citizens.

"Ia jelas detik yang sukar dalam karier saya," jelasnya kepada Sky Sports, selepas secara simboliknya dinamakan pemain terbaik perlawanan.

"Ketika pertama kali tiba di sini, saya tidak pernah terfikir akan bermain sejauh sehingga ke hari ini. Ia adalah satu era yang baru buat kelab," katanya.

"Saya berada di sini sejak hari pertama dan amat berbangga. Ia sembilan tahun yang hebat," tambahnya.

"Kadangkala kita terpaksa melakukan pilihan yang sukar. Ia waktu terbaik untuk saya pergi tetapi percayalah, saya sayangkan kelab ini.

"Terima kasih kepada peminat, pengurusan dan semua di kelab. Mereka menjadikan saya seorang pemain yang lebih baik dan saya berbangga menyarung jersi ini," katanya.

Terkenal dengan sikap tidak mementingkan diri, Zabaleta berjaya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini kerana sikapnya yang sentiasa berusaha.

"Saya sungguh berbangga dapat bersama pasukan pada waktu terbaik mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video