Skip to main content

Bola Sepak

Yusri mahu pemain TRW ulangi aksi di Kuching

kel.jpg
Arahannya mudah sahaja, supaya bermain sebagaimana aksi separuh masa kedua di Kuching dan The Red Warriors (TRW) mampu menjinakkan Sarawak sekali lagi dalam pusingan kedua Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, yakin motivasi pemainnya cukup tinggi sambil sedar kemenangan akan mengesahkan mereka layak ke separuh akhir.

"Saya akan kekalkan kesebelasan utama yang beraksi cemerlang di Kuching sebagai ganjaran terbaik kepada mereka," katanya.

"Kami perlu memenangi perlawanan ini jika berhasrat ke separuh akhir. Kekalahan bakal memberi masalah besar kerana Johor Darul Ta'zim (JDT) II menunggu dalam aksi terakhir Kumpulan A."

Pengendali kelahiran Perlis itu juga mahu pemain Kelantan tidak memandang rendah kemampuan pemain skuad Bujang Senang itu biarpun lawan masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.

"Saya selalu nasihatkan mereka (pemain) supaya jangan melihat kekurangan yang ada pada pasukan Sarawak, sebaliknya melihat kelemahan dalam pasukan sendiri," tambahnya.

"Baiki kekurangan yang ada, kekal fokus dan beraksi ikut arahan jurulatih, insya-Allah, kami mampu mencatatkan kemenangan berganda."

Yusri juga mengesahkan penyerang import, Sedyi L'Imam, masih tidak dapat beraksi akibat kecederaan bahu tetapi yakin penyerang veteran, Mohd Fauzi Roslan atau Kojie, mampu memikul tugas yang diamanahkan.

"Saya juga kehilangan khidmat pemain pertahanan, Mohd Afiq Azwan, akibat kecederaan. Namun, saya yakin sesiapapun yang diberi peluang beraksi patut memberikan yang terbaik demi kejayaan pasukan," ujarnya.

Untuk rekod, dalam aksi pusingan pertama Kumpulan A, TRW berjaya mengalahkan Sarawak 3-0 untuk menduduki tangga kedua di belakang JDT II.

Kredit Foto: Kelantan FA Red Warriors

Advertisement

Must Watch Video