Skip to main content

Bola Sepak

Yusri mahu kepimpinan baru KAFA jaga kebajikan pemain

yusri-che-lah.jpg
Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, memuji semangat juang anak buahnya yang merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor United semalam disebalik kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Menurutnya, biarpun isu gaji dianggap sensitif, dia mahu kepimpinan baru yang akan dipilih dalam Kongres Agung Luar Biasa (EGM) KAFA hari ini memberikan lebih tumpuan bagi menyelesaikan isu kebajikan pemain.

"Bukan saya meminta kelebihan dalam apa segi sekalipun, namun sebagai manusia, saya perlu membela pemain yang beraksi malam ini, yang gaji mereka tertunggak hampir dua bulan setengah. Namun, mereka bermain seolah-olah gaji dibayar setiap bulan tanpa sebarang masalah.

"Begitu juga ada dalam kalangan kami (jurulatih) yang masih tidak menerima gaji hampir tiga bulan tetapi tetap hadir ke tempat latihan tanpa rasa jemu dan masih mahu membantu pasukan," katanya.

Yusri juga kagum dengan kesungguhan pemainnya, yang sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan Kelantan terus mencipta kejayaan dan tidak tersingkir ke Liga M3, musim depan.

"Pemain sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kejayaan pasukan. Malah, Mohd Azwan (Aripin) yang masih demam, sanggup turun beraksi demi memastikan benteng Kelantan kukuh menyerap asakan lawan.

"Mereka telah berikan jiwa untuk perlawanan ini. Saya rasa ingin menangis kerana memiliki pemain yang cukup berdedikasi dan memiliki semangat juang yang hebat," katanya.

Dalam aksi malam tadi, dua jaringan dalam separuh masa kedua melalui sepakan penalti Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-48) dan penyerang muda, Nik Azli Nik Alias (m-50), sudah cukup untuk memberikan kemenangan ketiga The Red Warriors (TRW). 

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Kelantan memungut 14 mata tetapi masih kekal di tangga ke-10 Liga Perdana.

Advertisement

Must Watch Video