Skip to main content

Bola Sepak

Yee Fatt tidak jangka Kuala Lumpur raih jaringan besar

fatt.jpg
Penyerang import, Guilherme de Paula, mencipta kebangkitan buat Kuala Lumpur dengan meledak empat gol untuk menewaskan Felcra FC 4-1 dalam aksi Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, malam tadi.

Kuala Lumpur turun berdepan Felcra dengan misi menebus maruah selepas dibelasah 1-5 menentang Terengganu dalam aksi pertama kumpulan, 4 Ogos lalu.

Dibimbing Chong Yee Fatt yang mengambil alih tugas Fabio Maciel selaku pemangku jurulatih, skuad Warga Kota itu meraih sepakan penalti pada awal permainan.

Ia susulan bola terkena tangan kapten Felcra, Shahrom Kalam, dan peluang itu berjaya disempurnakan De Paula untuk membawa Kuala Lumpur di depan pada minit keenam.

Felcra selaku tuan rumah hanya berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69 tetapi tandukan Anselmo da Silva digagalkan ketangkasan Sharbinee Allawee.

Selang tiga minit, Kuala Lumpur meraih gol kedua sekali lagi menerusi De Paula, kali ini dia bijak memperdayakan penjaga gol Felcra.

Felcra, yang enggan mengalah, bangkit merapatkan kedudukan menerusi jaringan Nazrul Kamaruzaman pada minit ke-83.

Begitupun, kebangkitan itu pantas dipadamkan Kuala Lumpur seminit kemudian apabila De Paula melengkapkan hatrik sebelum dia sekali lagi berjaya menerjah jaring lawan pada minit ke-89.

"Kami sebenarnya yakin dapat keputusan hari ini, bukan hanya menang, dapat satu atau tiga mata. Tetapi saya gembira dan tidak menjangka dapat jumlah gol sebesar itu. Ia adalah jaringan besar," kata Yee Fatt.

Sementara itu, jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese, berkata: "Saya tidak fikir nombor menunjukkan apa perlawanan itu.

"Sudah tentu mereka menang kerana mereka mempunyai peluang dan menyudahkan peluang itu. Kami juga mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video