Skip to main content

Bola Sepak

Yee Fatt enggan pertaruh nasib tonggak The City Boys

sharbinee-allawee_1.jpg
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, terpaksa mengambil risiko dengan menurunkan pemain kurang berpengalaman dalam perlawanan menentang PKNS FC, malam ini, gara-gara beberapa tonggaknya dihimpit kecederaan.

Antara tonggak yang tidak dapat diturunkan adalah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, dan juga pemain pertahanan, Luke Woodland, selain beberapa pemain yang masih belum cergas.

Yee Fatt enggan mengambil risiko memandangkan tiga hari kemudian, mereka akan menentang Felda United bagi aksi suku akhir pertama Piala FA, seterusnya akan berentap pula dengan Kedah untuk Liga Super, Jumaat ini. 

"Saya tiada pilihan lain lagi. 

"Ada pemain sedang menanggung kecederaan ringan tetapi saya tidak mahu mengambil risiko. 

"Saya enggan menurunkan mereka kali ini kerana ia boleh mengundang padah yang lebih besar. 

"Tetapi itu bukan alasan buat kami (untuk tidak memberikan saingan)," katanya. 

Keutamaannya kini adalah untuk meneruskan momentum pasukan yang masih belum tewas dalam enam perlawanan dengan yang terbaru, mengikat Perak 3-3 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Yee Fatt berharap kunjungan skuad Warga Kota ke Stadium Shah Alam sekurang-kurangnya mampu menjelmakan satu mata dalam usaha Kuala Lumpur untuk keluar daripada zon penyingkiran.

"Kami berharap dapat meneruskan momentum sambil berharap ia akan membuahkan hasil. 

"Kami mahu meraih keputusan positif dan mungkin satu atau dua mata lagi boleh membantu kedudukan kami dalam liga," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video