Bermain bola sepak sambil 'mengembara', itu pengalaman unik yang akan dinikmati barisan legenda bola sepak negara menerusi program 'Abadikan momen istimewa bersama atlet Lejen'.

Ia menyaksikan, mereka akan menaiki tren khas dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan hujung minggu ini.

Program yang buat julung kali bakal diadakan itu hasil kerjasama antara Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bekas pemain negara yang terlibat antaranya Datuk Santokh Singh, Reduan Abdullah, Kamarul Zaman Yusoff, Azman Adnan, Ismail Ibrahim dan Malek Rahman.

Majlis pelepasan akan dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli di Stesen KTM Kuala Lumpur Khamis ini.