Kelab bola sepak Jerman, VfL Wolfsburg serius untuk mendapatkan pemain muda wanita negara, Qaseh Rania Khairul Najib, untuk beraksi bersama pasukan belia kelab itu.
Ketua wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew berkata, kelab itu akan menyelesaikan urusan permit Qaseh Rania yang menjadi antara halangan utama untuk pemain berusia 14 tahun tersebut beraksi dalam perlawanan kompetitif di Jerman.
"Sekarang ini Qaseh Rania berusia 14 tahun, kena ada orang untuk jaga dia di sana. Permit untuk bola sepak kita akan usahakan bagi membolehkan dia bermain di sana.
"Kelab akan minta permit tersebut daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Ini tidak akan ada masalah. Kalau kita boleh dapat secepat mungkin, Qaseh Rania akan terus boleh ke sana.
"Sekarang terpulang kepada bapa Qaseh Rania untuk hantar dia sebab pasukan bawah 17 tahun memang sedang menunggunya beraksi bersama.
"Mungkin bapanya perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti urusan persekolahan sebelum boleh hantar Qaseh Rania," katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan Qaseh Rania berjaya menambat perhatian kelab Wolfsburf itu dalam sesi percubaan selama lima minggu baru-baru ini.
Ia sekali gus menempa sejarah tersendiri buat negara apatah lagi Qaseh Rania merupakan pemain wanita Asia pertama berjaya diterima masuk ke kelab itu.
Bagaimanpun, bapa Qaseh Rania, Khairul Najib Ibrahim mengakui berdepan masalah terutama dalam penyediaan visa dan permit sebelum pemain terbaik Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) boleh beraksi di sana.
Dalam pada itu, Ken turut mengakui kualiti dimiliki Qaseh Rania sememangnya diakui kelab itu dengan pasukan bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun Wolfsburg teruja mahu menyambarnya.
"Dia antara bakat yang memang bagus dari Malaysia dan memiliki pakej seperti fizikal yang tinggi, kemudian corak permainan yang bagus.
"Wolfsburg percaya Qaseh Rania akan mampu menjadi lebih bagus dan sebab itu kelab tersebut memang mahukan dia dalam pasukan," katanya.-Sinar
Stadium Astro
Tue Sep 17 2024