LIGA SUPER MSIA
Wing Hoong puji aksi PKNP FC menakjubkan
Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) malam tadi merupakan elemen kejutan berdasarkan persembahan TFC setiap kali beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Perkara itu diakui penolong jurulatih PKNP FC, Chan Wing Hoong, yang menyifatkan persembahan mereka sebagai menakjubkan.
Bekas pemain Perak itu turut memuji disiplin taktikal pemain-pemainnya dalam mengikut segala arahan yang diaturkan walaupun diberikan tekanan pada penghujung permainan.
Iklan

"Kami hampir 'membunuh' TFC, sebaliknya mereka merapatkan kedudukan dan tempoh 10 hingga 15 minit terakhir menjadi cukup sengit.
"Sasaran untuk dapatkan satu mata itu ada kerana kami tidak jangka dapat mengejutkan TFC yang kebal di gelanggang sendiri," kata Wing Hoong.
Giancarlo Rodrigues muncul wira PKNP selepas menjaringkan dua gol untuk memberikan kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
Dipinjam daripada PJ City FC, Wing Hoong, begitupun berkata masih awal untuk membincangkan status penyerang kelahiran Brazil itu.
"Terserah kepada jurulatih, Abu Bakar (Fadzim) dan pihak pengurusan untuk menilainya berkenaan kontrak.
"Rodrigues penyerang yang ada fizikal yang baik, mampu menjaringkan gol dan melakukan hantaran berbahaya. Itu yang kami mahukan ketika ini," tambahnya.
Must-Watch Video