Skip to main content

Bola Sepak

Willian ikrar untuk kekal selepas bertemu Sarri

willian.jpg
Willian bersedia untuk kekal di Chelsea di bawah pimpinan Maurizio Sarri selepas 'kecewa' dengan ketua jurulatih terdahulu, Antonio Conte.

Pemain sayap Brazil itu secara meluas dikaitkan untuk keluar dari Stamford Bridge dengan Manchester United dan Barcelona disebut-sebut sebagai destinasi kemungkinan.

Pemain berusia 29 tahun itu dimasukkan daripada bangku simpanan pada setengah jam terakhir dalam kekalahan 2-0 dalam aksi  Perisai Komuniti kepada Manchester City malam tadi dan kemudiannya memberitahu wartawan bahawa Sarri telah memujuknya untuk kekal di kelab yang berpangkalan di barat London itu. 

"Saya selalu menjelaskan mengenai hasrat untuk terus beraksi bersama Chelsea, saya tidak pernah memberitahu (sesiapa) bahawa saya mahu meninggalkan kelab ini tetapi beberapa situasi yang berlaku dengan jurulatih terdahulu membuatkan saya kecewa," katanya.

"Tetapi dengan kitaran baru sekarang, saya telah mengadakan perbincangan yang bagus dengan jurulatih baru, saya harap ini boleh menjadi satu tahun kemenangan buat kami.

"Keinginan saya adalah untuk kekal di kelab ini kecuali jika mereka mahu menjual saya. Kita tidak pernah tahu, namun saya sentiasa jelas mengenai keinginan saya untuk kekal.

"Fikiran saya tertumpu di Chelsea tetapi kami tidak pernah tahu tentang hari esok, saya berharap untuk kekal."

Meskipun mencetuskan beberapa detik yang menggalakkan pada akhir babak pertama, Chelsea longlai di Wembley dan mujur tidak dibolosi lebih banyak gol selepas Sergio Aguero menemui sentuhan penyudah pada setiap babak. 

Begitupun, Willian yakin corak serangan berani yang diamalkan Sarri semasa mengemudi Napoli akan membuahkan hasilnya. 

"Tidak syak lagi, ia adalah gaya permainan yang kami gemari, bukan hanya saya malah semua pemain," katanya.

"Justeru, kami mempunyai segala-galanya untuk memperbaiki dan terus berusaha. Pada peringkat permulaan tentu lebih sukar sehingga kami dapat membiasakan diri dengan corak permainan baru dan perubahannya. Bagaimanapun, kami harus bermula dengan baik dalam saingan liga."

Advertisement

Must Watch Video