Skip to main content

Bola Sepak

West Ham lebih baik berbanding United, kata Solskjaer

olegunnarsolskjaerpaulpogba.jpg
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengakui pasukannya bernasib baik untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas West Ham di Old Trafford, awal pagi tadi.

Solskjaer merombak kesebelasan utamanya selepas tewas 0-1 kepada Barcelona dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu, namun United memaparkan aksi longgar yang menyaksikan Paul Pogba menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti bagi memadam gol penyamaan Felipe Anderson pada minit ke-49.

Bagaimanapun, Solskjaer mengakui pasukannya itu tidak beraksi baik sejak akhir-akhir ini dan United juga bukanlah pasukan yang sentiasa bernasib baik.

"Adakalanya anda memperoleh lebih daripada apa yang anda layak dan hari ini adalah salah satu daripadanya.

"Watford (kemenangan 2-1 di laman sendiri bulan lalu) juga salah satu daripadanya.

"Ketika menentang Arsenal dan Watford di mana kami tewas kedua-dua perlawanan itu, kami sepatutnya memenanginya.

"Jadi, adakalanya ia tidak memihak kepada kami.

"Nasib baik kami tidak berdepan Barcelona hari ini, namun West Ham beraksi dengan amat baik, lebih baik berbanding kami.

"Mereka mencipta banyak peluang," katanya.

Ia bukanlah musim pertama pengurus United itu akan berasa kagum terhadap aksi tangkas David de Gea, yang melakukan aksi menyelamat gemilang bagi menafikan percubaan Michail Antonio ketika kedudukan masih terikat 1-1.

"Kami memiliki antara penjaga gol terbaik dunia.

"Aksi menyelamat itu amat sukar dipercayai.

"Dia membantu kami memenangi perlawanan ini kerana ketika mendahului 2-1, ia amat sukar untuk kami menghasilkan peluang," tambahnya.

Pogba tampil berani untuk menjaringkan gol kemenangan United, namun Solskjaer berasakan kekurangan secara kolektif untuk memberikan tekanan dengan keamatan menyebabkan bintang Perancis itu dan rakan gandingannya di bahagian tengah, Fred, terlalu kerap terdedah.

"Kami terlalu terbuka sewaktu bertahan.

"Kami tidak berjaya untuk menekan mereka dan kami juga terlalu terbuka di bahagian tengah.

"Saya berasakan Paul dan Fred sudah beraksi baik, namun mereka tidak memiliki pemain yang boleh mempertahankan mereka dan kami tidak melakukan tekanan.

"Kami akan mengkaji semula perkara itu agar pasukan ini lebih berani untuk menyerang, menekan dari bawah dan lebih bertenaga sewaktu di atas," katanya.

Pogba berlari-lari anak ketika mengambil sepakan penalti yang kedua-duanya menewaskan Lukasz Fabianski dengan cara itu.

"Ia terpulang kepadanya, dia berlatih untuk mengambil sepakan penalti.

"Dia berkeyakinan dan mempunyai kekuatan mental yang baik.

"Saya menggemari cara dia berlari ke arah bola sebelum melakukan rembatan yang deras.

"Penjaga gol mereka dapat membaca sepakan kedua, namun ia jaringan yang hebat," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video