Skip to main content

Bola Sepak

Werner: Sane mampu jadi Mbappe

leroysane-cropped_19ltkr5rrwvbn1kta0shqioua1.jpg
Penyerang Jerman, Timo Werner, mempertahankan rakan sepasukannya, Leroy Sane, apabila melaungkan keyakinan bahawa penggempur Manchester City itu mampu muncul watak utama buat skuad kebangsaan, sama seperti apa yang dilakukan oleh Kylian Mbappe untuk Perancis.

Sane dikeluarkan daripada skuad kendalian Joachim Low sebelum Piala Dunia tetapi kembali membarisi Die Mannschaft sewaktu aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang juara dunia, Perancis, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, lenggok badan pemain berusia 22 tahun itu dipersoalkan oleh Toni Kroos dan dia meninggalkan pasukan sebelum aksi menentang Peru sebelum mengesahkan ia disebabkan oleh kelahiran anak perempuannya.

Werner percaya Sane memiliki kemampuan untuk menjadi pemain utama buat Jerman, menyamakannya dengan bintang Perancis, Mbappe.

"Saya mengenalinya sejak sekian lama dan beraksi bersama dalam skuad bawah 19 tahun. Dia sentiasa memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan," kata Werner.

"Seperti Mbappe, dia mampu menjadi senjata ampuh berbekalkan kepantasan dan ketangkasan yang dimiliki."

Dalam masa sama, penggempur RB Leipzig itu memberikan pujian buat Mbappe sambil berpendapat bintang muda Paris Saint-Germain (PSG) itu akan menjadi tumpuan utama bola sepak apabila Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo bersara.

"Dia sangat hebat walaupun dua atau tiga tahun lebih muda berbanding saya..

"Jika tiba masa Messi dan Ronaldo bersara, dia pasti akan mengisi kekosongan itu. Potensi yang dimiliki Mbappe sangat cerah.

"Kelajuan dan kawalan bola yang ditunjukkan sangat bagus. Anda pasti cemburu akan pasukan yang memiliki Mbappe," katanya.

Advertisement

Must Watch Video