Skip to main content

Bola Sepak

Werner akan ke EPL, LaLiga pada masa sesuai

timowerner.jpg
Timo Werner bersedia untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) atau LaLiga apabila tiba masa yang sesuai untuk dia meninggalkan RB Leipzig.

Pemain kebangsaan Jerman itu dijangka akan menyertai Bayern Munich pada awal musim ini memandangkan tempoh kontraknya sudah memasuki tahun terakhir.

Tetapi perpindahan itu tidak berlaku selepas dia memilih untuk menandatangani kontrak baru selama empat tahun lagi bersama Leipzig.

Pemain berusia 23 tahun itu terus dikaitkan dengan pasukan gergasi EPL seperti Liverpool, Manchester United dan Chelsea selain Barcelona dan Real Madrid turut dikatakan berminat.

Werner menjaringkan 25 gol daripada 28 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dan amat gembira dengan suasana di Arena Red Bull ketika ini.

Bagaimanapun, penyerang itu tidak menolak kemungkinan untuk menguji dirinya dalam liga luar negara.

"Ada ketika, saya dapat membayangkan bagaimana untuk bermain di luar negara tetapi tiada tempat yang khusus, saya sentiasa terbuka untuk segala-galanya," katanya kepada Kicker.

"Ketika saya bercuti di Amerika, mereka sentiasa menyiarkan bola sepak Inggeris.

"Tetapi terdapat juga pasukan yang dikenali dan besar di Sepanyol, di mana ia pasti sesuatu yang menyeronokkan untuk bermain di sana.

"Apabila anda pada usia 23 tahun dan sudah menjaringkan 20 gol musim ini, anda pasti akan menarik minat. Ia pasti.

"Tetapi buat masa ini, saya tidak mahu berfikir mengenai apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Kami akan menghadapi perlawanan penting yang akan menentukan keseluruhan perjalanan musim ini.

"Itulah tumpuan saya. Saya akan memikirkan mengenai masa depan saya pada waktu yang lain," katanya.

Dia menambah: "Apa yang anda boleh katakan apabila dalam tempoh dua minggu, satu pasukan yang sedang bersaing untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah mahu menandatangani seseorang dengan tawaran yang hebat?

"Setiap pemain pasti akan memikirkannya.

"Pada pandangan saya, ia sentiasa berkaitan dengan perancangan karier.

"Ia akan tiba apabila ia mahu tiba dan kemudian, anda perlu menghadapinya pada masa yang sesuai," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found