Skip to main content

Bola Sepak

Washington mahu ulang mimpi ngeri JDT

pj-city.jpg
Penyerang import PJ City FC, Washington Brandao, bertekad untuk membantu pasukannya mengulangi kejayaan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila sekali lagi bertembung dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia, esok. 

Sebelum ini, penggempur kelahiran Brazil itu melakar kejutan mencalarkan rekod tanpa kalah JDTdalam saingan Liga Super musim ini selepas meledak jaringan tunggal pertemuan kedua menentang skuad Harimau Selatan itu.  

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu mengakui ia bukan tugasan mudah buat pasukannya kerana menganggap juara Liga Super enam edisi itu bakal tampil dengan corak permainan lebih berwaspada. 

"Kami mahu melakukan perkara sama tetapi ia sukar. JDT adalah pasukan yang bagus. Pertemuan dalam liga membuktikan bahawa sangat sukar untuk mengatasi mereka, tidak kira di laman sendiri atau lawan," katanya.

Bagaimanapun, Washington melihat pasukannya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk memberi tentangan sengit kepada tuan rumah dalam perlawanan kedua Piala Malaysia itu.

Ketika ini, PJ City dan JDT berkongsi tiga mata, mengisi dua tangga teratas kumpulan sambil diikuti oleh PKNP FC dan UiTM FC.

"Mereka pernah tewas dan tentunya tidak mahu ia berulang. Pastinya mereka akan tampil lebih bagus dan kami perlu bersedia."

Kredit foto: MFL

Advertisement

Must Watch Video