Skip to main content

Bola Sepak

Vingada perjelas punca tiada aksi pemanas badan

nelo-vingada-300517.jpg
Jurulatih negara, Nelo Vingada, menjelaskan dia mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang perlawanan ujian sebelum menentang Lubnan atas dua faktor, iaitu penundaan aksi bertemu Korea Utara pada 8 Jun ini selain pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlibat dalam saingan Piala AFC. 

Vingada tidak menafikan dia sebenarnya sedikit bimbang tanpa sebarang aksi persahabatan kerana perlu memilih pemain yang layak berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan Lubnan, 13 Jun nanti. 

Namun, dia tiada pilihan lain memandangkan masa tidak mengizinkan ekoran penangguhan perlawanan berdepan Korea pada saat-saat akhir serta pemain JDT yang hanya akan melaporkan diri pada 2 Jun ini. 

Justeru, dia membuat keputusan hanya mengadakan sesi latihan dalam tempoh dua minggu ini dan berharap pemain mampu menyesuaikan diri dengan corak taktikalnya. 

"Kami memutuskan tidak mengadakan perlawanan persahabatan. 

"JDT akan bermain di Filipina esok dan mereka perlukan masa untuk berlepas.

"Untuk itu, ini bukan keadaan terbaik untuk mengadakan perlawanan persahabatan tanpa pasukan yang lengkap," kata jurulatih dari Portugal itu. 

Selain itu, Vingada menjelaskan dia mempunyai kriteria dalam soal pemilihan pemain dan tidak melihat hanya faktor tertentu seperti usia atau pengalaman. 

Malah, dia sebenarnya gemar menggunakan pemain muda, begitupun mengambil keputusan hanya mengambil dua pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana tidak mahu mengganggu perancangan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee. 

"Pemain bagus yang berkualiti, mereka akan diturunkan. 

"Jika pemain veteran masih cergas dan mempunyai kualiti, sudah tentu mereka akan diturunkan.

"Apa yang penting, saya mendapatkan keseimbangan dan kombinasi antara pemain berusia, berkualiti dan berbakat.

"Inilah perkara paling sukar dalam tugasan saya."

Dalam sesi latihan sulung di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, seramai 14 pemain menjalani latihan kecuali Baddrol Bakhtiar yang mengadu kurang sihat. 
 

Advertisement

Must Watch Video