Skip to main content

Bola Sepak

Vingada mampu selamatkan skuad negara

15517vingada_1.jpg
Rata-rata pemerhati bola sepak tempatan menyambut baik pelantikan Nelo Vingada sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Vingada hadir dengan reputasi mengagumkan berlandaskan pengalaman 26 tahun selaku jurulatih di Portugal, malah pengalaman melatih skuad kebangsaan di beberapa negara Asia seperti Arab Saudi dan Jordan membolehkannya memahami bola sepak Asia.

"Vingada merupakan calon yang memahami budaya bola sepak Asia, di mana pengalamannya mengendalikan skuad di Asia telah menunjukkan bahawa dia layak membimbing skuad negara," kata Hasnizam Uzir.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 64 tahun itu, yang akan tiba di Malaysia 25 Mei ini bagi memulakan tugas secara rasmi.

Memandangkan waktu kian suntuk sebelum aksi pertama kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Pyongyang, 8 Jun depan, penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dilihat mampu memainkan peranan penting membantu Vingada.

"Dia akan dibantu oleh seorang jurulatih yang mempunyai karisma,  yang sudah memahami tentang selok-belok bola sepak negara. Saya harapkan kerjasama Cheng Hoe dan Vingada akan membawa satu perubahan daripada segi percaturan dan taktikal permainan yang lebih meyakinkan," tambah Hasnizam.

Vingada digelar 'The Professor' kerana kaedah pengurusan yang bijak. Dia memulakan kerjaya dalam kejurulatihan sebagai penolong Carlos Queiroz untuk skuad bawah 20 tahun Portugal yang muncul juara Piala Dunia pada 1989 dan 1991.

Beberapa pemain daripada dua pasukan itu turut dikenali sebagai generasi emas Portugal kerana menjadi tonggak skuad senior negara itu seperti Luis Figo dan Rui Costa.

Vingada kemudian mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad bawah 20 tahun Portugal dan meneruskan kesinambungan barisan remaja dengan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia pada 1995 dan Sukan Olimpik 1996.

"Dia datang dengan kredibiliti yang begitu besar. Walaupun masa tidak berpihak kepadanya, saya percaya dengan pengurusan yang sedia ada di bawah Tunku Ismail, dia akan berjaya.

"Dia akan melapor terus kepada Tunku Ismail. Kami dapat menyokong 100 peratus pelantikannya," kata bekas pemain kebangsaan, Jalil Ramli.

"Kepakaran Cheng Hoe dalam mengenal pasti pemain yang boleh membawa cabaran Malaysia dengan dibantu jurulatih berprofil tinggi ini, saya percaya pasti akan berlaku sesuatu kepada pasukan kebangsaan."

Vingada mempunyai pengalaman lebih 35 tahun sebagai jurulatih dan turut berpengalaman di rantau Asia selepas membimbing skuad kebangsaan Arab Saudi (1996-1997), skuad kebangsaan Jordan (2007-2009) dan skuad Sukan Olimpik Iran (2014).

Dia turut mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa kelab utama Afrika dan Asia seperti Zamalek SC, FC Seoul, Persepolis FC dan kelab terakhir sebelum ke Malaysia ialah NorthEast United FC.
 

Advertisement

Must Watch Video