Skip to main content

Bola Sepak

Vieira tidak terganggu khabar angin ke Arsenal, setia dengan Nice

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

vieira.jpg
Patrick Vieira menegaskan bahawa dia tidak pernah berpeluang untuk menggantikan Unai Emery di Arsenal memandangkan dia dan Nice saling komited 100 peratus. 

Bekas kapten Arsenal itu telah dikaitkan dengan tugasan bersama The Gunners sejak Arsene Wenger melepaskan jawatannya pada 2018 sebelum Mikel Arteta mengambil alih kerusi panas berkenaan susulan pemecatan Emery, November lalu. 

Bekas tonggak Perancis berkenaan berkata tiada sebarang perbincangan dengan kelab London itu ketika ini sambil menegaskan dia juga pasti akan menolak sebarang tawaran. 

"Tidak, tiada tempat di dalam fikiran saya untuk perbualan seperti itu," katanya kepada Daily Mail. "Fokus saya adalah di sini (Nice). Projek ini sesuai dengan saya dan apa yang saya mahu capai.

"Khabar angin tentang jawatan di Arsenal bukan sesuatu yang akan mengganggu saya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi itulah sebabnya saya tidak mahu memikirkan sesuatu yang tidak wujud.

"Kelab ini tahu bahawa saya mahu kekal dan saya juga tahu mereka mahu saya kekal, 100 peratus."

Vieira, bagaimanapun, mengakui sempat bercakap mengenai kemungkinan akan menggantikan Wenger sebelum dilantik sebagai pengurus Nice.

"Ia hanya satu perbualan mengenai keadaan saya, di mana saya akan berada, apakah langkah seterusnya," katanya. "Ia tidak membawa sebarang erti pun."

Vieira berpindah ke Nice daripada New York City pada Jun 2018 dan mendapati bekas rakan sepasukannya, Mario Balotelli, turut membarisi kelab Perancis itu. 

Pemain antarabangsa Itali berkenaan, yang telah mewakili Nice sebelum ketibaan bekas pemain tengah yang keras itu, gagal menjaringkan sebarang gol di bawah pengurus baru tersebut sebelum membawa diri ke Marseille dalam jendela perpindahan seterusnya.

Tambahnya mengenai Balotelli: "Pemikiran Mario sukar untuk sukan secara keseluruhannya. 

"Ia mengenai falsafah yang saya mahu tentukan, kebersamaan dan etika kerja yang saya mahu bina. Adalah rumit bagi saya untuk bekerjasama dengan pemain seperti Mario.

"Sukar untuk kami berdua bekerjasama, jadi kami memutuskan untuk mengambil haluan berbeza."


​Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video