Skip to main content

Bola Sepak

Van Dijk terhutang budi kepada Klopp

van-dijk-2.jpg
Virgil van Dijk berterima kasih kepada pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, dalam membantu perkembangannya selepas memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Pertahanan Liverpool, Van Dijk, dinobat sebagai pemain terbaik musim ini dalam majlis yang berlangsung di London malam tadi, mengetepikan rakan sepasukan, Sadio Mane, bintang Chelsea, Eden Hazard, dan trio Manchester City, Bernardo Silva, Sergio Aguero dan Raheem Sterling –- yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA.

Van Dijk -- yang berhijrah daripada Southampton, Januari tahun lalu -- mempamerkan persembahan cemerlang bersama The Reds musim ini untuk membantu skuad bimbingan Klopp itu merekodkan 20 perlawanan tanpa bolos dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di samping menjaringkan tiga gol.

Dan pertahanan kelahiran Belanda itu berterima kasih kepada Klopp yang membantu membentuk kariernya bersama The Reds dan menjadi pertahanan pertama selepas John Terry memenangi anugerah tersebut pada 2005.

"Dia banyak membantu. Dia telah memastikan bahawa saya dapat beraksi untuk Liverpool," kata Van Dijk.

"Klopp seorang pengurus yang berkualiti dan saya berasakan ia telah melonjakkan lagi kelab ini. Dia sentiasa ada untuk memastikan setiap perkara dapat dilaksanakan.

"Ia sesuatu yang mustahil, memenangi anugerah ini, diundi oleh barisan pemain yang beraksi dalam EPL. Saya sangat berbangga kerana berjaya memenangi anugerah ini.

"Bertahan adalah sama penting dengan menyerang tahun ini dan Liverpool telah mengharungi musim yang cemerlang. Kami berharap segalanya berjalan lancar," tambahnya.

Bintang Liverpool, Mohamed Salah, memenangi anugerah yang sama tahun lalu dan Klopp gembira meraikan kejayaan itu sekali lagi bersama pemainnya.

"Saya sangat berbangga kerana kali kedua saya meraikan kejayaan ini bersama pemain Liverpool," kata Klopp.

"Van Dijk, siapa yang menjangkakannya berjaya mencapai tahap ini. 

"Saya sangat gembira di atas perkembangannya."

Liverpool akan berdepan Barcelona dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), Rabu ini, sebelum menamatkan saingan EPL berdepan Newcastle United dan Wolves.

Advertisement

Must Watch Video