Skip to main content

Bola Sepak

Valverde tidak berani rehatkan Messi menjelang aksi Atletico, United

lionel-messi.jpg
Ernesto Valverde berkata ia bukan waktu yang baik untuk merehatkan Lionel Messi ketika Barcelona sedang bersedia untuk menghadapi minggu kritikal musim ini.

Pendahulu LaLiga itu akan berdepan Villarreal, awal pagi esok, dalam usaha mereka untuk mengekalkan pendahuluan 10 mata ke atas pencabar terdekat, Atletico Madrid, yang akan berdepan Girona, dua jam lebih awal.

Dua pasukan teratas itu akan bertemu di Camp Nou hujung minggu ini dan Barca berpeluang untuk menutup sisa-sisa perjuangan Atletico dalam perlawanan itu sebelum mereka bertandang ke Manchester United dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, Rabu depan.

Dengan dua perlawanan penting yang menanti mereka itu, Valverde mendedahkan dia akan kekal menggunakan khidmat Messi dalam menghadapi Villarreal bagi mengelakkan mereka keciciran mata.

"Tidak ada perancangan yang ideal untuk menggunakan pemain seperti Leo secara selamat," katanya dalam sidang media, semalam.

"Kami meletakkan nilai yang tinggi dalam perlawanan ini.

"Terdapat pemain yang sedang mengintai tempat untuk beraksi dalam pertemuan Liga Juara-Juara Eropah dan perlawanan dengan Atletico, namun aksi ini amat penting.

"Saya sedar seteru kami sedang menantikan kami keciciran mata untuk menghidupkan peluang mereka mengejar kami.

"Kami tidak sepatutnya memberikan mereka peluang itu," katanya.

Atletico disingkirkan Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah dan tewas 0-2 kepada Athletic Bilbao sebelum waktu rehat antarabangsa baru-baru ini.

Ia meningkatkan spekulasi mengenai perpindahan ayam tambatan mereka, Antoine Griezmann.

Bagaimanapun, Valverde menolak dakwaan bahawa Barca mahupun Atletico akan terkesan dengan berita perpindahan bintang Perancis itu ke Catalonia selepas spekulasi sama pernah terjadi tahun lalu.

"Kami mahupun Atletico sudah lali mengenai berita perpindahan itu.

"Ia sudah diperkatakan sejak tahun lalu dan kami sudah terbiasa dengannya, begitu juga Atletico," katanya.

Barca memenangi tiga kejuaraan liga sejak empat tahun lalu, namun mereka hanya memenangi satu kejuaraan Liga Juara-Juara sejak tujuh tahun lalu dan mereka hanya menyaksikan seteru utama, Real Madrid, meraih kejuaraan itu bagi tiga edisi berturut-turut sebelum ini.

Valverde, bagaimanapun, menjelaskan keutamaan pasukannya dalam saingan liga walaupun julangan trofi peringkat Eropah itu lebih didambakan penyokong mereka.

"Berdasarkan sejarah, apabila Barca memenangi Liga Juara-Juara, mereka akan memenangi LaLiga.

"Kejayaan dalam Liga Juara-Juara menggembirakan penyokong, namun ia tidak boleh membuatkan kami terlupa bahawa setiap kemenangan boleh terlepas andai kami tidak memberikan tumpuan selama 15 minit.

"Dalam LaLiga, anda perlu bersedia dari minit pertama hingga ke minit terakhir.

"Cara anda beraksi dalam kejohanan lain bergantung kepada bagaimana anda beraksi dalam saingan LaLiga.

"Bagi saya, liga ini merupakan asas segala-galanya.

"Ketiga-tiga trofi musim ini adalah di antara terlalu dekat dan terlalu jauh.

"Segala-galanya bergantung kepada kejuaraan itu dan kami masih belum memenangi apa-apa.

"Kami di landasan tepat dan ia perlu berterusan.

"Jika kami mahu mendapatkan trofi, adalah lebih baik untuk mendapatkan ketiga-tiganya," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video