Masa depan Ernesto Valverde selaku pengurus Barcelona masih belum pasti tatkala pengendali itu berpendapat masih terlalu awal untuk membincangkan lanjutan kontrak.
Pengendali berusia 54 tahun itu bakal menamatkan kontrak penghujung musim ini dan situasi itu tampak masih belum diselesaikan sehingga tahun baru.
Valverde mengesahkan kejuaraan domestik berganda dalam musim pertama tetapi menggigit jari di pentas Liga Juara-Juara Eropah bagi saingan 2017/18 selepas tunduk di tangan AS Roma di peringkat suku akhir.
Walaupun wujud spekulasi akan ketegangan hubungannya dengan presiden, Josep Bartomeu, bekas pemain Barca itu tidak terburu-buru ketika ditanya mengenai lanjutan kontrak.
"Saya masih memiliki kontrak ketika ini dan mempunyai pilihan untuk melanjutkannya," kata Valverde.
"Namun, anda tahu apa yang berlaku dalam bola sepak. Musim masih panjang dan anda harus melihat perkembangannya.
"Sekarang baru September, jadi masih terlalu awal."
Kritikan tampak melanda Valverde selepas dia dilihat tidak menerapkan corak permainan yang sering dipertaruhkan oleh kelab.
Namun, setelah membelasah PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara serta mengharungi permulaan cemerlang LaLiga, dia jelas membuktikan dirinya tidak melakukan kesilapan.
"Ia tampak bagus buat saya. Apa yang boleh saya katakan, kami cuba menang dan beraksi dengan baik.
"Bersama kelab besar, sentiasa akan ada harapan. Kami mendominasi aksi ketika menentang PSV dan tidak pasti sama ada mereka ada melakukan sebarang ancaman utama.
"Ia tidak semudah seperti apa yang orang ramai fikirkan."
Penulis Jemputan
Sun Sep 23 2018