Skip to main content

Bola Sepak

Valverde bangga walau Barcelona sekadar seri

ernesto-valverde.jpg
HUESCA 0 BARCELONA 0

Ernesto Valverde berbangga dengan persembahan Barcelona walaupun pasukan itu diikat 0-0 oleh Huesca dalam saingan LaLiga di Stadium El Alcoraz, malam tadi.


Pasukan tercorot LaLiga itu layak mendapat satu mata daripada pendahulu, Barca, yang melakukan 10 perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika menentang Manchester United dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu.

Dengan menantikan kunjungan United, Rabu ini, di samping kelebihan selesa dalam saingan liga, Valverde memanfaatkan kesempatan itu untuk merehatkan bintang utama pasukannya, termasuk Lionel Messi, Luis Suarez, Gerard Pique, Sergio Busquets dan Ivan Rakitic.

Moussa Wague dan Jean-Clair Todibo melakukan penampilan pertama buat skuad Catalan itu manakala Riqui Puig dan Jeison Murillo diturunkan buat kali pertama dalam saingan liga.

Kevin-Prince Boateng diberikan kepercayaan untuk beraksi sepenuh masa dan Ousmane Dembele pula dibenarkan beraksi selama sejam bagi mendapatkan kembali kecergasan terbaik.

Ketua jurulatih Barca, Valverde, berpuas hati terhadap prestasi yang dipamerkan barisan pemain berkenaan.

"Kami gembira kerana ia merupakan perlawanan yang sukar.

"Ramai pemain baru yang diturunkan, namun mereka memahami apa yang perlu mereka lakukan.

"Saya tidak mahu menurunkan (Nelson) Semedo atau (Jordi) Alba kerana mereka telah beraksi sepenuh masa dalam perlawanan sebelum ini.

"Sergi Roberto mengalami ketegangan otot dan kami terpaksa menurunkan Malcom di bahagian sayap, begitu juga Wague.

"Ia memberikan kesukaran pada awal permainan, namun kami gembira kerana pemain melangkaui apa yang kami jangkakan sebelum perlawanan.

"Ia amat sukar, namun saya berasakan kami perlu melakukannya.

"Anda perlu memahami keadaan dalam setiap perlawanan.

"Ia tidak normal untuk melakukan penampilan pertama seperti itu di mana mereka menggantikan pemain utama dalam perlawanan pertama.

"Kami mengubah pilihan pemain, cara bermain dan berdepan pasukan yang sedang berusaha untuk keluar daripada zon penyingkiran," katanya.

Advertisement

Must Watch Video