Skip to main content

Bola Sepak

Usah remehkan kemampuan The Gorkhalis

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tan-cheng-hoe-hamidin.jpg
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Nepal walapun skuad The Gorkhalis itu kurang dikenali di persada bola sepak antarabangsa.

Skuad negara tetap dicanang sebagai pasukan lebih handal berbanding Nepal walaupun lawan itu menduduki ranking lebih baik di tangga ke-161 dunia tatkala Malaysia di tangga ke-168.

Ia berdasarkan sejarah bola sepak kedua-dua pasukan dan rekod pertemuan lalu yang menyaksikan skuad negara merekodkan lima kemenangan tanpa bolos daripada enam perlawanan.

Namun, Cheng Hoe enggan menjadikan situasi itu sebagai kelebihan buat skuad negara, sebaliknya beliau tampil berwaspada sambil menganggap pemain Nepal sebagai pejuang kerana mewarisi DNA tentera Gurkha.

"Pemain negara usah berasa selesa melayani kunjungan Nepal dan ia boleh menjadi satu tindakan yang baik buat masa depan mereka. 

"Sudah tentu pemain-pemain negara akan bekerja keras untuk pastikan tempat dalam kesebelasan utama," katanya. 

Apapun, pertemuan menentang Nepal akan menjadi medan buat Cheng Hoe untuk memuktamadkan senarai 23 pemain bagi perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 bertemu Timor Leste, 7 dan 11 Jun ini.

Ia bermakna dua pemain akan digugurkan, namun Cheng Hoe mengesahkan sebarang keputusan akan dibuat selepas aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. 

"Kemungkinan pemain di bahagian pertahanan akan digugurkan dan keputusan itu akan diumumkan selepas menentang Nepal manakala seorang lagi pemain akan dipinggirkan untuk perlawanan malam ini," tambahnya. 

Sementara itu, pemain tengah Nepal, Rohit Chand, percaya pengalaman beraksi dalam kancah Liga Malaysia dapat membantunya ketika menentang Malaysia. 

Chand yang kini mewakili kelab Indonesia, Persija Jakarta, merupakan bekas pemain T-Team dan pernah bergandingan dengan penyerang negara, Safawi Rasid, pada musim 2016. 

"Saya harap dia masih mengenali saya. 

"Saya tahu kemampuan pemain Malaysia memandangkan saya pernah berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala AFC sebelum ini.

"Saya juga mengikuti rapat perkembangan Liga Malaysia, jadi saya mempunyai banyak maklumat (mengenai  kekuatan Malaysia)," kata Chand. 

Lantas, kelibat pemain berusia 27 tahun ini sudah pasti ditagih pengendalinya, David Kalin, untuk memastikan skuad Nepal tidak pulang dengan tangan kosong.

Untuk rekod, Nepal gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir tetapi melakar kejutan dengan mengikat Kuwait tanpa jaringan, Mac lalu.

 

Advertisement

Must Watch Video