Skip to main content

Bola Sepak

United lenyapkan kritikan -- Pogba

pogba-250517.jpg
AJAX 0 MANCHESTER UNITED 2

Paul Pogba menganggap Manchester United berjaya melenyapkan kritikan terhadap mereka susulan kemenangan 2-0 ke atas Ajax dalam perlawanan akhir Liga Europa, awal pagi tadi.


United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keenam selepas mengharungi musim sukar, namun kejayaan di Stockholm itu menyaksikan United menjulang trofi ketiga mereka musim ini selepas kejayaan dalam Piala Perisai Komuniti dan Piala Liga Inggeris (EFL).

Pogba memecah kebuntuan pada minit ke-18 sebelum Henrikh Mkhitaryan menggandakan kedudukan Red Devils untuk meletakkan mereka selesa menyambung aksi pada babak kedua.

Tonggak Perancis itu percaya kritikan terhadap United akan lenyap apabila mereka kini menempah tiket peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

"Kami berjaya melakukannya. Kami sangat bangga. Tiada siapa lagi boleh mengkritik kami," kata Pogba kepada BT Sport.

"Mereka mengatakan kami menempuhi musim yang buruk tetapi kami meraih tiga trofi.

"Permulaan permainan sangat penting dan selepas dua gol itu, kami menguasai perlawanan.

"Ia persembahan yang hebat daripada semua pihak."

Kejayaan United itu hadir selepas dua hari serangan pengganas yang meragut 22 nyawa di Manchester Arena dan Pogba berkat, keseluruhan rakan sepasukannya mahukan kemenangan bagi menghormati mangsa yang terkorban.

"Ia sesuatu yang dahsyat di serata dunia, di London dan Paris," tambahnya.

"Kami turun dengan fokus untuk menang bagi mewakili Manchester dan negara."


 

Advertisement

Must Watch Video