JDT 4 KL CITY 0
(JDT ke separuh akhir dengan agregat 6-1)
Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Unifi Piala Malaysia dengan kelebihan agregat 6-1 selepas menewaskan Kuala Lumpur City 4-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Selepas memperoleh kemenangan tipis 2-1 dalam aksi pertama di Cheras minggu lalu, JDT menunjukkan tiada belas kasihan buat The City Boys dalam pertemuan kali ini.
Mereka memperoleh jaringan pertama hasil sepakan penalti yang disempurnakan Arif Aiman pada minit ke-36 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain negara itu dijatuhkan Nabil Hakim Bokhari.
Bergson keudian melebarkan kelebihan itu dalam waktu kecederaan separuh masa dengan melakukan penyudah kaki kiri dari sudut sukar di sebelah kiri.
Penyerang yang dicanang bakal menyarung jersi Harimau Malaya itu kemudian sekali lagi menemui sasaran pada awal babak kedua, kali ini dengan menyudahkan sepakan penalti selepas insiden S. Sharvin menjatuhkan Oscar Arribas.
Kemenangan bergaya Harimau Selatan disempurnakan Juan Muniz pada minit ke-62, di mana pemain itu melepaskan sepakan lencong jarak jauh dari luar kotak penalti yang tepat menuju ke penjuru kanan atas gawang Azri Ghani.
Dengan kemenangan itu, JDT akan menantikan pemenang di antara Negeri Sembilan dan Terengganu bagi penentuan ke final pada Februari depan.
Muzaffar Musa
Sat Dec 21 2024