Skip to main content

Bola Sepak

Undian UCL: Ronaldo kembali ke Old Trafford

ronaldo.jpg
Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo, akan menghadapi bekas kelabnya, Manchester United, dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini selepas kedua-dua jaguh Eropah itu diundi dalam Kumpulan H, awal pagi tadi. 

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo, pada mulanya mencipta kegemilangan di peringkat tinggi Eropah bersama United setelah menyertai kelab itu sebagai pemain berusia 18 tahun pada 2003.

Di Old Trafford, dia menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia dan memenangi gelaran pertama Ballon d'Or di United pada 2008, tahun yang sama dia menjulang UCL.

Ronaldo berpindah ke Real Madrid pada tahun berikutnya dengan memenangi empat lagi gelaran UCL sebelum menyertai Juve dan gergasi Turin berkenaan berharap bintang Portugal itu menjadi jawapan kepada usaha mereka untuk mencapai kejayaan Eropah sejak 1995-96.

Paul Pogba juga akan menentang bekas pasukannya tatkala United dan Juve diundi sekumpulan sambil dicabar Young Boys dan Valencia -- kelab Sepanyol itu kerap menimbulkan masalah.

Bekas kelab Ronaldo, Madrid -- juara bertahan -- memperoleh undian lebih selesa dengan AS Roma, CSKA Moscow dan Viktoria Plzen mengisi Kumpulan G.

Finalis musim lalu, Liverpool, boleh dikatakan diundi dalam kumpulan paling sukar di samping Paris Saint-Germain (PSG), Napoli dan Red Star Belgrade.

Manchester City akan menikmati laluan selesa untuk mara ke pusingan seterusnya menerusi Kumpulan F -- anak buah Pep Guardiola akan menentang Shakhtar Donetsk, Lyon dan Hoffenheim.

Juara Bundesliga, Bayern Munich, turut yakin dengan peluang mereka dengan Benfica, Ajax dan AEK Athens bukan ancaman untuk mereka meraih kedudukan teratas Kumpulan E.

Inter Milan, yang kembali ke pertandingan ini buat kali pertama sejak 2011-12, berdepan misi getir untuk ke pusingan kalah mati apabila rintangan Barcelona, ​​Tottenham dan PSV menanti. 

Juara Liga Europa, Atletico Madrid, akan menghadapi Borussia Dortmund, AS Monaco dan Club Brugge manakala pesaing Bundesliga, Schalke, berada dalam Kumpulan D bersama Porto, Lokomotiv Moscow dan Galatasaray.

Advertisement

Must Watch Video