Skip to main content

Bola Sepak

Undian UCL: Bayern tidak gentar dengan Spurs

karl-heinz-rummenigge.jpg
Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Karl-Heinz Rummenigge, gembira dengan keputusan undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Monaco, awal pagi tadi.

Juara Bundesliga itu diundi dalam Kumpulan B bersama finalis musim lalu, Tottenham Hotspur, selain pasukan gergasi Greece, Olympiakos, dan Red Star Belgrade.

Bayern disingkirkan Liverpool dalam pusingan 16 musim lalu selepas tewas 1-3 di tempat sendiri dan terikat tanpa jaringan di Anfield.

Namun, pegawai pasukan itu tidak sabar untuk membuktikan prestasi yang lebih baik di bawah kendalian ketua jurulatih, Nico Kovac, musim ini.

"Kami sudah pasti boleh selamat dalam kumpulan itu," kata Salihamidzic dalam Twitter rasmi Bayern.

"Jangkaan kami adalah untuk melepasi peringkat kumpulan selaku pasukan terbaik, namun kami dinasihatkan agar tidak memandang rendah mana-mana pasukan.

"Terutama perlawanan di Piraeus dan di Belgrade kerana kami bukan sahaja akan berdepan lawan yang bermotivasi tinggi tetapi penyokong tuan rumah yang amat bersemangat juga," katanya.

Rummenigge turut berpuas hati dengan keputusan undian itu.

"Saya fikir kami boleh berasa selesa dengan kumpulan ini.

"Amat penting untuk bermotivasi tinggi dan memberikan tumpuan sejak permulaan dan melayani setiap lawan dengan rasa hormat," katanya.

Sementara itu, bekas pemain Bundesliga, Son Heung-min, gembira untuk kembali ke Munich bagi berdepan Bayern.

"Bayern amat istimewa kerana mereka salah satu pasukan terbaik Eropah," kata penyerang Spurs itu dalam Twitter.

"Anda sentiasa teruja untuk beraksi dalam kejohanan ini dan bertemu lawan seperti itu.

"Kami perlu ingat dan belajar daripada apa yang telah kami lakukan musim lalu," katanya.

Istanbul, Turki akan menjadi tuan rumah aksi final, 30 Mei tahun depan dengan perlawanan peringkat kumpulan akan bermula pertengahan bulan depan.

Advertisement

Must Watch Video