Skip to main content

Bola Sepak

UKM tidak rela ulangi kesilapan

ukm-sulaiman-hussein.jpg
Bola sepak bukan sekadar menguasai permainan -- itu pengajaran berguna buat UKM FC ketika tewas kepada Terengganu FC II dan tidak mahu perkara sama berulang ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam esok. 

Hanya mengatasi Negeri Sembilan dengan kelebihan satu mata, UKM tidak boleh mengundang satu lagi kekalahan jika mahu memburu slot separuh akhir Piala Cabaran.

Menurut jurulatih UKM, Sulaiman Hussein, dia masih tersentak dengan kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC II dan harap pemain dapat memperbaiki disiplin semasa menyerang.

Malah, dia cukup bimbang keupayaan Negeri Sembilan yang telah bangkit dengan melakar dua kemenangan berturut-turut.

"Kami tidak boleh lagi suka-suka bermain secara terbuka. 

"Mereka gemar mengambil kesempatan, ketiga-tiga gol Terengganu FC II sebelum ini adalah melalui serangan balas. 

"Pemain sedar kepentingan perlawanan ini, jika mereka ingin melepasi peringkat kumpulan ini, mereka harus menang esok," katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah UKM, Irwan Syazmin Wahab, bertekad membalas budi majikannya itu dengan menghadiahkan trofi Piala Cabaran.

Berhijrah daripada PKNP kerana kurang bermain, produk Piala Presiden Kedah berkenaan semakin mendapat keyakinan ekoran sering kali berada dalam kesebelasan utama.

"Mudah beraksi di sini, ramai bekas pemain Kedah di sini. 

"Sasaran utama saya untuk membantu UKM kekal dalam Liga Perdana sudah tercapai.

"Saya harap dapat angkat satu piala untuk UKM," kata Irwan. 




 

Advertisement

Must Watch Video