Skip to main content

Bola Sepak

UiTM terus dirundung malang

frank.jpg
UiTM FC terus dirundung malang dan kali ini giliran Kedah Darul Aman FC pula memberi kebuntuan kepada skuad kendalian Frank Bernhardt itu selepas tewas 0-1 di laman sendiri. 

Dalam aksi kelima saingan Liga Super, Bernhardt mengakui jentera serangan masih tumpul untuk menyudahkan beberapa peluang terhidang menjadikan skuad The Lion Troops ketinggalan daripada pasukan lain. 

Difahamkan juga, kegagalan meraih sebarang kemenangan selepas lima perlawanan ketika ini meletakkan kedudukan jurulatih dari Jerman itu goyah. 

"Saya sangat kecewa dengan keputusan yang perlu dihadapi ketika ini. UiTM berpeluang untuk mendapatkan jaringan penyamaan malah memenangi perlawanan namun ia gagal dilakukan dan semakin ketinggalan dalam saingan Liga Super," kata Bernhardt.

Sementara Kedah pula tenang pulang ke Alor Setar selepas mencapai misi meraih tiga mata untuk berada di kedudukan ketiga Liga Super. 

Ketua jurulatih, Aidil Shahrin Sahak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selain ingin memberi masa rehat sebelum liga kembali bermula 2 April depan. 

Namun, dalam aksi 90 minit berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam semalam hanya ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dalam memastikan aksi yang konsisten. 

"Bukan mudah beraksi di tempat lawan, UiTM telah beraksi cemerlang dalam perlawanan terdahulu dan perkara paling penting adalah meraih tiga mata dan secara keseluruhan, saya gembira dengan keputusan ini," kata Aidil.
 

Advertisement

Must Watch Video