Skip to main content

Bola Sepak

UiTM FC curi satu mata di Likas

img_0334.jpg
SABAH 1 UITM 1

UiTM FC berjaya mencuri satu mata dari Stadium Likas, Kota Kinabalu apabila mengikat Sabah 1-1 dalam aksi Liga Perdana, sebentar tadi.


Aksi separuh masa pertama menyaksikan perlawanan agak seimbang, namun pasukan tuan rumah lebih banyak mencemaskan pintu gol UiTM FC.

Sabah memiliki peluang baik pada minit ke-18 hasil percubaan pertahanan import, Park Taesu, namun sepakannya tinggi melepasi palang walaupun penjaga gol UiTM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris, sudah pun tertewas.

Skuad Tambadau itu kemudian memiliki dua peluang baik pada minit ke-41 dan 45 menerusi Luis Carlos Junior tetapi dua percubaannya itu diselamatkan Nor Haziq walaupun dalam keadaan satu lawan satu dan kedudukan 0-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Dalam babak kedua, skuad tuan rumah kendalian Jelius Ating itu bermula garang dan berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi Rodoljub Paunovic yang menanduk kemas hantaran Randy Baruh pada minit ke-49.

Sabah kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-55, namun rembatan Luka Milunovic sekadar singgah di palang walaupun penjaga gol lawan telah pun tertewas.

Pada minit ke-57, giliran Alto Linus pula memiliki peluang, namun rembatan kencangnya selepas melepasi seorang pertahanan tinggi di atas palang gol.

Nor Haziq kemudian sekali lagi menjadi penyelamat buat pasukannya apabila berjaya menepis keluar sepakan percuma Milunovic pada minit ke-68.

Pada minit ke-79, penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy, hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaannya terkena tiang walaupun penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim sudah tertewas dan percubaan susulan oleh Mohammad Amer Azahar selepas itu juga berjaya diselamatkan Rozaimie.

UiTM FC kemudian berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma leret Robert yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah terus melakukan serangan demi serangan, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, sama ada diselamatkan penjaga gol atau tidak menepati sasaran dan kedudukan 1-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

TFC II 1 SARAWAK 2

UKM 2 SELANGOR UNITED 2

Advertisement

Must Watch Video