Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

UCL: Liverpool belum dapat turunkan Diaz hadapi Real Madrid

luis-diaz.jpg
Luiz Diaz belum cukup cergas untuk diturunkan Liverpool menjelang perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL), demikian disahkan Jurgen Klopp.

Diaz tidak pernah mewakili The Reds sejak mengalami kecederaan lutut ketika mereka tewas 2-3 kepada Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Oktober lalu.

Dalam satu temu bual bersama Sky Sports pada dua minggu lalu, pemain kebangsaan Colombia itu memberikan bayangan bahawa dia bekemungkinan dapat beraksi dalam pertemuan di Santiago Bernabeu berkenaan pada 15 Mac ini dengan berkata: "Ayuh tunggu dan lihat bila saya akan dapat kembali ke lapangan dan jika ia di (Santiago) Bernabeu, ia tidak akan menjadi masalah."

Klopp, bagaimanapun, mengesahkan pemain sayap itu masih belum menjalani latihan dan akan terlepas perlawanan berkenaan, di mana Liverpool akan membawa misi mustahil untuk menterbalikkan defisit 2-5 susulan kekalahan dalam perlawanan pertama di Anfield minggu lalu.

Biarpun pemain berusia 26 tahun itu terpaksa berehat panjang, Klopp yakin dia akan membawa pengaruh yang besar sebaik pulih daripada kecederaan sambil pengurus Liverpool itu berkata kepada wartawan: "Dia dijangka akan kembali memanaskan badan bersama pasukan minggu depan dan kemudian mungkin akan kembali menjalani latihan bersama pasukan seminggu selepas itu.

"Saya positif mengenainya, dia mungkin akan dapat memberikan impak dalam 10, 11 atau 12 perlawanan terakhir kami. Kita akan lihat seberapa lama dia memerlukan masa.

"Apabila dia kembali, dia akan menjadi pemain yang bagus dan sudah pasti akan memberikan impak, itu amat jelas. Seberapa cepat, saya tidak tahu. Kami perlu melihatnya.

"Terdapat cabaran yang besar ketika ini. Tiada masa untuk bersabar tetapi anda perlu bersabar," katanya.
 

 

Advertisement

Must Watch Video