UCL
UCL: Inzaghi wajibkan Inter jaring gol awal ke atas Liverpool
Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, menegaskan mengenai kepentingan permulaan pantas pasukannya apabila berdepan Liverpool dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan berkata ia merupakan satu kewajiban untuk mereka menjaringkan gol dalam separuh masa pertama di Anfield.
Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, membawa kelebihan 2-0 menjelang perlawanan kedua awal pagi esok selepas Roberto Firmino dan Mohamed Salah menemui sasaran dalam perlawanan pertama di Stadio Giuseppe Meazza pada pertengahan bulan lalu.
Hanya ada satu pasukan pernah melakukan kebangkitan selepas tewas 0-2 dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati UCL, di mana Manchester United melakukannya ketika menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 musim 2018-19.
Iklan
Bagaimanapun, bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan itu, Inzaghi berkata pasukannya hanya tidak bernasib baik dalam aksi pertama dan yakin mereka akan memberikan respons yang lebih baik dalam pertemuan kali ini.

"Kami tidak bernasib baik (dalam perlawanan pertama). Saya fikir keputusannya amat kejam. Kami bermain dengan baik dan layak mendapatkan sesuatu yang lebih baik.
"Ini akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami akan berdepan pasukan yang hebat tetapi kami ada keyakinan. Kami amat bermotivasi.
"Saya sedar kami bukan di kedudukan mendahulu. Kami sedar kami perlu menjaringkan gol awal. Jaringan dalam separuh masa pertama merupakan perkara wajib.
"Kami sedar cabaran yang akan kami hadapi. Liverpool antara pasukan terbaik di samping Bayern Munich dan Manchester City. Anfield stadium yang hebat. Amat hebat untuk dapat menjadi sebahagian daripada aksi ini. Perlawanan pertama amat getir tetapi kami sedar kali ini akan menjadi perlawanan yang lebih sukar," katanya.
Must-Watch Video