Declan Rice percaya pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich merupakan sebuah perlawanan yang sempurna buat Arsenal bagi memadam kekecewaan yang dihadiahkan Aston Villa.

The Gunners tumbang 0-2 ketima menerima kunjungan anak buah Unai Emery di Stadium Emirates, semalam yang menyaksikan mereka dihukum menerusi penyudah Leon Bailey dan Ollie Watkins bagi meningkatkan harapan Villa meraih kelompok empat teratas.

Arsenal sepatutnya kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan syarat menjamin kemenangan tetapi kini tergelincir di tangga kedua, dua mata di belakang juara bertahan, Manchester City.

Bagaimanapun, tiada masa untuk barisan Mikel Arteta itu merawat duka tatkala mereka perlu bertandang ke Jerman untuk perlawanan kedua suku akhir UCL berdepan Bayern, awal pagi Khamis ini.

Keputusan seri 2-2 di utara London minggu lalu menyebabkan kedudukan seimbang dan Rice berasakan perlawanan getir sebegitu adalah apa yang Arsenal perlukan.

"Ia adalah permainan yang sempurna untuk memberi reaksi," katanya.




“Kami memerlukan reaksi dan ia adalah peluang yang baik untuk menunjukkan karakter dan kepimpinan kami. Sudah tiba masanya untuk pergi ke sana dan semoga kami mara ke separuh akhir UCL.

“Kami kena ketepikan kekecewaan semalam. Ia telah berlalu dan inilah bola sepak. Kami telah pun kalah tetapi kami perlu bangkit, itu sudah pasti.

“Kami akan ke Allianz Arena, ia akan menjadi malam yang istimewa. Sudah tiba masanya untuk kami berjuang untuk bangkit dan buktikan kepada semua orang mengapa kami layak berada di kedudukan ini.

“Kami kecewa tewas dalam perlawanan besar tetapi sudah tiba masanya untuk bertindak balas. Kami telah mencapai prestasi yang menakjubkan sejak Januari lalu dengan memenangi banyak perlawanan dan kembali ke kedudukan yang sukar dipercayai selepas berdepan kesukaran pada Krismas.”