Skip to main content

Bola Sepak

Tugas sukar lawan Kedah -- Nafuzi

nafuzi.jpg
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, lebih selesa skuad bimbingannya menjadi pasukan bukan pilihan dalam kunjungan ke Alor Setar untuk bertemu Kedah dalam aksi Piala Malaysia, malam ini.

Bekas pemain tengah negara itu berkata skuad Lang Merah berkenaan serba lengkap di semua posisi berbanding TFC yang agak tempang tanpa beberapa tonggak yang diketepikan.

Menurutnya lagi, aksi meyakinkan dalam perlawanan pembukaan minggu lalu tidak boleh dijadikan modal untuk meletakkan TFC di zon selesa.

"Setiap perlawanan adalah berbeza dan sukar untuk mengekalkan rentak yang baik.

"Kami tahu tugas berat berdepan Kedah, yang pastinya dalam keyakinan yang baik selepas menjuarai Piala FA selain turut memenangi perlawanan pertama.

"Sasaran TFC ialah sekurang-kurangnya seri dan bonus jika dapat mengalahkan mereka," katanya.

Menamakan Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez sebagai pemain yang perlu diberikan perhatian, Nafuzi sekali lagi berdepan isu kecederaan pemain, termasuk ketua pasukannya, Lee Tuck.

Pemain England itu dibelenggu kecederaan buku lali untuk menyertai Ahmad Syamim Yahya, Abdul Malik Mat Ariff, Khairu Azrin Khazali dan Khairul Anwar Shahrudin di 'bilik rawatan'.

Situasi itu memberikan peluang kepada pemain berusia 21 tahun, Amirul Syazwan Nor Azmi, dari skuad TFC III untuk menyertai rombongan yang diketuai Nafuzi itu ke utara tanah air.

"Saya akan membuat keputusan saat akhir sama ada Tuck dapat diturunkan atau tidak.

"Macam sebelum ini pun, kami tidak dapat menurunkan skuad terbaik.

"Saya harap pemain-pemain yang diturunkan dapat membuktikan sesuatu di atas padang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video