Skip to main content

Bola Sepak

Tuduhan Bong mampu beri kesan masa depan Rodriguez

jay-rodriguez.jpg
Alan Pardew mengingatkan Jay Rodriguez tentang kesungguhan Gaetan Bong yang menuduh penyerang West Brom itu melancarkan serangan berbentuk perkauman sambil memberi amaran bahawa ia boleh menjejaskan perancangannya selepas bersara.

Khamis lalu, Persatuan Bola Sepak (FA) menuduh Rodriguez terbabit dengan insiden perlawanan di antara Baggies dan Brighton & Hove Albion, pada 13 Januari lalu. 

Bong membuat aduan terhadap Rodriguez selepas bekas pemain Southampton itu kelihatan memerah hidungnya dan memberi isyarat tangan ke arah pemain antarabangsa Cameroon itu. 

Rodriguez berdepan dakwaan menggunakan "kata-kata kesat, menghina yang merujuk kepada asal-usul etnik, warna atau bangsa" selepas kejadian itu.

Biarpun kekal mengaku tidak bersalah, Pardew menjelaskan keadaannya adalah sangat serius dan pantas mengatakan Rodriguez menyedari ia mampu membawa kesan terhadap kerjaya profesionalnya, terutama selepas dia menggantung but.

"Ia jelas bukan keadaan yang sesuai buat Jay," kata Pardew kepada pemberita dalam sidang akhbar semalam.

"Ia satu tuduhan yang dia nafikan dan sebagai kelab, kami akan menyokongnya menerusi proses itu. Itulah apa yang berlaku pada masa ini, ia merupakan satu proses yang perlu dilihat dan oleh itu, komen kami mengenainya boleh memburukkan situasi. Lebih kurang kita bercakap adalah lebih baik.

"Jay sangat kecewa mengenainya, dia mempunyai keupayaan mental yang baik untuk menangani perkara-perkara ini dan berharap dia dapat menumpukan perhatian kepada bola sepaknya sepanjang berada di sini dan tidak terlalu bimbang tentang situasi itu walaupun ia membimbangkan. Pada masa ini, dia berasa marah tetapi dalam keadaan baik. 

"Kita berada di dunia seperti ini di mana semua orang perlu berhati-hati dan ketika sedang bercakap mengenai hal ini pun, saya masih berasa gugup. Semua orang pun begitu. 

"Ia bukan satu keadaan yang ideal dan sehingga proses itu dapat dilihat oleh kedua-dua pemain, barulah kita boleh membuat keputusan.

"Saya bercakap dengan PFA (Persatuan Bolasepak Profesional) pagi ini, saya cuba menghubungi Kick It Out pagi ini, tetapi saya tidak mempunyai sebarang jawapan. Kita semua perlu sedar betapa seriusnya situasi ini buat kedua-dua pemain terbabit. 

"Ia bukan hanya tentang kami (berpotensi) kehilangan Jay dalam lima perlawanan -- ia lebih serius daripada itu dan masa depannya selepas bersara, sama ada dia mahu menjadi jurulatih, pengurus atau beralih bidang perniagaan.

"Ini adalah tuduhan yang serius, jadi dia mahu mempertahankannya dan itulah yang saya mahu katakan kepadanya."

Pardew tidak ragu-ragu dengan Rodriguez.

"Sudah tentu (saya percayakan dia) kerana dia tetap berkeras mengenainya," kata Pardew.

"Dia tidak mengubah nada atau pernyataannya. Dia konsisten sejak dia melangkah keluar dari padang."

 

Advertisement

Must Watch Video