Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel tidak pasti kecederaan Mbappe, Cavani tapi mahu kekalkan Neymar

kylian-mbappe_qiq5phjx1fo21gvka6x983jmu.jpg
Thomas Tuchel tidak passti tentang tahap kecederaan Kylian Mbappe dan Edinson Cavani tetapi mengesahkan dia mahu Neymar kekal.

Neymar tidak disenaraikan dalam skuad ketika kemenangan 4-0 ke atas Toulouse di laman sendiri, awal pagi tadi, di mana Cavani dan Mbappe digantikan kerana kecederaan.

Cavani dibawa keluar dalam babak pertama selepas cuba melakukan sepakan voli sambil Mbappe terpaksa digantikan setelah dilihat mengalami kesakitan di bahagian paha tatkala PSG turut kehilangan khidmat Abdou Diallo akibat kecederaan di kepala.

"Saya tidak tahu sama ada kecederaan Mbappe dan Cavani serius atau tidak," katanya.

"Adakah mereka mampu kembali untuk saingan Liga Juara-Juara Eropah? Saya tidak fikir tentangnya.

"Kecederaan ini berbeza dalam situasi yang berlainan. Kami perlu lihat puncanya. Ia selalu begitu.

"Saya sedikit kecewa kerana kami bermula dengan baik. Setiap kecederaan memberikan masalah kepada kami kerana kami mahu bekerjasama sebagai satu pasukan. Ia sukar."

Neymar terus dikaitkan dengan perpindahan keluar selepas pengarah sukan kelab, Leonardo, sebelum ini mengesahkan keinginan bintang Brazil itu selepas dua tahun di Paris. 

Dia dilihat berpotensi untuk kembali bersama Barcelona tetapi seteru LaLiga, Real Madrid, juga dilihat berminat bagi mendapatkan khidmatnya.

Neymar masih belum beraksi buat PSG musim ini tetapi Tuchel mahu situasi itu diselesaikan segera memandangkan jendela perpindahan Eropah bakal tamat 2 September ini.

"Ia menjadi sasaran kami. Tamatkan kes ini secepat yang boleh," tambah Tuchel.

"Leonardo tahu saya mahu kekalkannya tetapi ia tidak bergantung kepadanya semata-mata.

"Situasi ini tidak begitu jelas dan kami perlu selesaikannya."

PSG akan bertemu Metz, Jumaat ini, dalam aksi terakhir sebelum saingan antarabangsa bermula tetapi Tuchel tidak pasti sama ada Neymar akan beraksi.

"Ia bukan keputusan saya sahaja," katanya.

Advertisement

Must Watch Video