Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel tidak akan jadikan Neymar kapten PSG

neymar-cropped_1ud8aetvlch211g5pwvkq19d04.jpg
Thomas Tuchel menolak dakwaan Neymar bakal menjadi kapten Paris Saint-Germain (PSG) yang seterusnya dan berkata pihak kelab perlu menerima penggantungan yang dihadapi bintang itu susulan insiden menyerang seorang penyokong lawan.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengumumkan semalam bahawa Neymar akan menjalani penggantungan tiga perlawanan susulan serangan yang dilakukan terhadap seorang penyokong Rennes selepas kekalahan dalam saingan Piala Perancis bulan lalu.

PSG mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, namun Tuchel percaya hukuman tersebut adil dan menggesa bintang Brazil itu menampilkan kualiti pemimpin yang dimiliki di atas padang.

"Kami harus menerima penggantungan itu," kata Tuchel.

"Ia adalah satu kesilapan. Terdapat banyak cara untuk menunjukkan bahawa anda seorang ketua. Neymar adalah bintang. Dia boleh menjadi ketua menerusi kualiti dan kemampuannya. Namun, saya sangat berpuas hati dengan Thiago Silva dan Marquinhos selaku kapten. Saya tidak akan mengubahnya."

Tuchel juga menegaskan rancangan perpindahannya tidak diubah walaupun PSG melalui penamat kempen yang amat mengecewakan.

The Parisians itu mengesahkan kejuaraan Ligue 1 kelapan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Monaco pada 21 April lalu, namun ia adalah kejayaan tunggal dalam tujuh perlawanan bagi semua kejohanan.

Juara bertahan Perancis itu hanya mengutip lima mata daripada 18 yang ditawarkan, termasuk tewas menerusi sepakan penalti di tangan Rennes dalam aksi final setelah melepaskan kelebihan dua gol pendahuluan.

Tuchel mengakui banyak perkara perlu diperbaiki untuk memperkuatkan pasukannya menjelang musim depan tetapi pemikirannya terhadap corak pemain yang dipilih tidak berubah.

"Analisis kami terhadap jendela perpindahan tidak berubah walaupun melalui tiga minggu yang sangat mengecewakan," ujar Tuchel.

"Kami perlukan ramai pemain dan posisi untuk meningkatkan prestasi pasukan."

PSG akan turun menentang Angers malam ini tanpa Silva dan Thomas Meunier sambil Presnel Kimpembe dan Thilo Kehrer juga masih belum pasti akan beraksi akibat faktor kecergasan.

Kylian Mbappe akan sekadar menonton perlawanan di Stadium Raymond Kopa memandangkan dia sedang menjalani penggantungan tiga perlawanan.

Advertisement

Must Watch Video