Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel tahu Neymar mahu tinggalkan PSG sebelum Copa America

neymarcropped_1a29uuuq5lt161mi0o7kt5cwcq.jpg
Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, tahu Neymar mahu meninggalkan juara Ligue 1 itu sebelum bermula saingan Copa America lagi.

Neymar, 27, dilaporkan mahu meninggalkan gergasi Perancis itu selepas tamat musim lalu, dua tahun setelah melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai EUR222 juta (RM1.08 bilion) daripada Barcelona.

Kelmarin, bintang Brazil itu dilaporkan sekali lagi memberitahu PSG kemahuannya untuk berhijrah dan Camp Nou dilihat sebagai destinasi seterusnya selepas dia tiba ke latihan pra-musim lebih lewat berbanding diminta pasukan.

Bercakap selepas kemenangan 6-1 PSG ke atas Dynamo Dresden dalam aksi persahabatan semalam, Tuchel memberitahu dia sedar keinginan Neymar sebelum Copa America, di mana penggempur itu mengalami kecederaan buku lali.

"Saya sentiasa kecewa apabila pemain lewat," katanya.

"Namun, segalanya jelas antara kami berdua dan kini ia tentang kelab dan Neymar. Kami bekerja bersama.

"Adakah saya tahu dia mahu berpindah? Ya, sebelum Copa America lagi (14 Jun-7 Julai lalu) tetapi itu urusan Neymar dan kelab."

Kylian Mbappe menyumbat dua gol dan membantu dua lagi jaringan dalam aksi pra-musim pertama PSG sambil Ander Herrera turut mencipta satu bantuan gol dalam penampilan sulungnya.

PSG akan menyambung aksi seterusnya menentang Nurnberg, Sabtu depan.
 

Advertisement

Must Watch Video