Skip to main content

Bola Sepak

Tuchel gesa Chelsea usah gusar soal pencapaian kental musnah

tuchel.jpg
Thomas Tuchel memberi amaran kepada barisan bintangnya di Chelsea bahawa mereka tidak boleh berasa gentar dengan kalah tatkala berusaha untuk melanjutkan prestasi tanpa kalah di bawah kepimpinannya.

Bekas pengurus Paris Saint-Germain (PSG) itu percaya bahawa ketaksuban untuk menghindari kekalahan mampu memudarkan keinginan untuk menang apabila menguatkan hujahnya dengan mendedahkan perbualannya dengan sebuah pasukan berbasikal terkemuka. 

Tanpa menamakan pemimpin pasukan berbasikal Team Sky itu yang kini dikenali sebagai Team INEOS, Tuchel ingin berkongsi mentaliti yang diperlukan untuk menjadi juara dalam sukan.

"Beberapa tahun lalu saya sempat bercakap dengan ketua pasukan berbasikal Sky di London -- dia tidak mahu berasa gentar dengan kekalahan berbanding keinginan untuk menang," katanya.

"Untuk kembali memberi tumpuan adalah prosesnya. Sekiranya kami terlalu banyak melihat pencapaian lalu, ia boleh mengundang kemunduran dan terlalu ingin melindunginya, tetapi saya mahu pemain sentiasa berani dan mengejar kemenangan seterusnya tanpa peduli soal kekalahan."

The Blues akan berdepan Sheffield United dalam suku akhir Piala FA di Stamford Bridge, malam ini, dan ingin mara sejauh mungkin sambil pengendali dari Jerman itu memasang hajat menjulang trofi dalam separuh musim pertamanya di ibu kota Inggeris berkenaan.  

 

Selepas menempuhi 13 perlawanan tanpa kalah sejak mengambil alih kerusi panas itu, Tuchel mencatat rekod baru kelab untuk prestasi paling lama tanpa tewas oleh seorang pengurus baru Chelsea. 

"Rekod itu sudah menjadi sejarah dan perlawanan seterusnya adalah Sheffield. Perlawanan ini yang paling penting," katanya lagi. 

"Saya meletakkan harapan tinggi terhadap diri sendiri, pasukan dan semua orang secara maksimum kemudian kami akan melihat hasilnya. Sekiranya kami memiliki semua kriteria ini, ia boleh meningkatkan kemungkinan untuk menghasilkan pencapaian besar tetapi saya harap kami tidak memasuki situasi yang menyaksikan kami menjadi lebih takut rekod ini berkecai daripada memenangi perlawanan seterusnya."

The Blues juga mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selain di laluan tepat untuk merebut kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tuchel tidak pernah menganggap ada perlawanan yang lebih penting daripada yang lain apabila mengatakan pemainnya perlu "mengawal tenaga dan mental masing-masing" biarpun gagal meraih keputusan yang diidamkan. 

"Inilah yang saya tuntut daripada pasukan saya: untuk membuat persiapan dengan sebaik mungkin, merendah diri dan keluar dengan sikap kompetitif yang sama seperti kami dalam 13 perlawanan terakhir," katanya. 

"Ini persaingan di tahap tertinggi. Anda tidak boleh bersantai."
 

Advertisement

Must Watch Video