Skip to main content

Bola Sepak

T-Team tekad curi mata hadapi Kedah

tt6.jpg
Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui menghadapi tugas berat berdepan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, malam esok.

Katanya, skuad Lang Merah kini di kemuncak prestasi selepas menjuarai Piala FA, malah perlu bersedia menyerap tekanan sokongan padu penyokong tuan rumah yang akan meraikan dan memberi sokongan kepada wira mereka.

“Pemain-pemain saya harus fokus dan tidak boleh terbawa-bawa dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini, termasuk kemenangan besar ke atas Kedah di Kuala Terengganu.

“Aksi kali ini sangat berbeza kerana pasukan lawan akan turun dengan semangat berkobar-kobar untuk membalas dendam kekalahan itu di hadapan penyokong mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu menuntut anak-anak buahnya tampil dengan aksi melawan untuk memastikan mereka tidak pulang tangan kosong.

Tambahnya lagi, tidak mustahil T-Team menjadi pasukan pertama menewaskan Kedah di Alor Setar sekiranya mengekalkan disiplin dan rentak permainan yang baik sepanjang 90 minit.

“Kami tahu tiada pasukan yang menang di Alor Setar dan saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain saya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata,” kata Rahmad.

Advertisement

Must Watch Video