Penang FC ibarat keciciran mata berharga, demikian pandangan pengendali Harimau Kumbang, Tomas Trucha, selepas anak buahnya seri 1-1 ketika melayani kunjungan Melaka United di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Tuan rumah mensia-siakan kelebihan awal apabila gol sendiri Latiff Suhaimi mengikat kedudukan sebelum mengendurkan rentak dalam babak kedua permainan.

"Saya tidak berpuas hati dengan satu mata. Kami patut menang kerana bermain di tempat sendiri. Itulah sasaran kami untuk diberikan kepada peminat.

"Kami patut lebih berani, tenang dan agresif dalam separuh masa kedua, tapi tidak," katanya selepas perlawanan.




Pendekatan itu menerbitkan kekesalan ketua jurulatih dari Republik Czech itu tetapi situasi mungkin berbeza sekiranya penjaring pertama perlawanan, Danial Asyraf (Abdullah), dihadiahkan sepakan penalti.

"Separuh masa pertama mengikut perancangan kerana kami mahu menguasai perlawanan sambil bersabar ketika mengintai peluang dan dalam situasi bola pegun.

"Mungkin kalau pengadil cukup berani dia akan memberikan sepakan penalti kepada Danial untuk kami mendahului 2-0," katanya lagi.