Skip to main content

Bola Sepak

Trippier puji semangat mahu menang Atletico

trippier.jpg
Kieran Trippier memuji mentaliti luar biasa Atletico Madrid selepas membuat penampilan kedua untuk kelab itu susulan perpindahannya daripada Tottenham.

Pertahanan kanan itu diturunkan dalam barisan kendalian Diego Simeone ketika Atletico menundukkan Chivas menerusi penentuan penalti selepas seri tanpa gol dalam pertembungan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 di Texas, Amerika Syarikat (AS), semalam. 

Trippier menghabiskan empat musim di Tottenham dan membantu kelab berkenaan menjangkau final Liga Juara-Juara (UCL) 2018-19 sebelum berpindah ke Wanda Metropolitano dengan nilai €22 juta (RM100.8j).

Tugas Atletico ketika menghadapi Chivas menjadi sukar berikutan kad merah ke atas Marcos Llorente pada minit ke-24, namun Trippier bangga dengan tindak balas mereka.

"Saya fikir kami bertindak balas dengan baik," kata Trippier. "Mentaliti pasukan ini amat sukar dipercayai, kami terus memberi tekanan dan cuba memenangi bola dengan segera. 

"Kami mahu menang tanpa mengira siapa yang kami hadapi. Itulah tahap pemikiran yang diterapkan dalam pasukan dan pengurus. 

"Dua kemenangan dalam dua perlawanan, saya harap ia berterusan."

Tambah tonggak yang diketepikan England itu baru-baru ini: "Saya sangat bangga untuk berada di sini dan bersedia mengerah segala kudrat. 

"Penyokongnya begitu luar biasa. Mereka sangat mesra dengan saya dan mengalu-alukan kehadiran saya dengan tangan terbuka.

"Saya akan buat yang terbaik demi jersi ini."

Advertisement

Must Watch Video