Skip to main content

Bola Sepak

Traore kembali cuba nasib di Sabah

koh-traore.jpg
Penyerang dari Burkina Faso, Koh Traore, bakal kembali ke Negeri Di Bawah Bayu selepas dia tersenarai antara pemain import untuk menjalani ujian pemilihan bersama Sang Badak, minggu depan.

Bagaimanapun, laluan penyerang yang pernah meledak 24 gol untuk Sabah dalam saingan Liga Perdana 2013 itu bukanlah mudah kerana dia dijangka bakal bersaing dengan beberapa pemain import lain yang turut mengintai peluang menyarung jersi Sabah.

Pengendali Sabah, Jelius Ating, ketika dihubungi mengesahkan Traore akan tiba minggu depan bagi menyertai ujian pemilihan, namun menegaskan tempat untuk pemain yang kini berusia 28 tahun itu masih belum terjamin.

"Memang kita akui dia memiliki rekod jaringan yang agak baik ketika bersama Sabah suatu ketika dulu, namun bagi saya, apa yang penting ialah prestasi semasa dan bukannya prestasi lampau.

"Kita akan lihat kemampuan kesemua pemain import yang datang nanti, saya tidak menolak kemungkinan akan mengambil dia (Traore) jika dia berjaya membuktikan dia lebih layak berbanding yang lain.

"Begitu juga sebaliknya, jika ada pemain import yang lebih baik, kita akan memilih yang terbaik," katanya.

Sabah kini dalam perancangan untuk merombak semula pasukan, termasuk membawa masuk pemain import baharu bagi menghadapi baki saingan liga.

Ketika ini, Sabah memiliki empat pemain import, iaitu pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, pemain tengah dari Jepun, Masaya Jitzono serta dua penyerang dari Perancis, Jonathan Behe dan Sofiane Choubani.

Bagaimanapun, Behe dan Choubani direhatkan daripada beraksi dalam beberapa perlawanan lalu selepas gagal memberikan aksi diharapkan.

Ia sekali gus menguatkan lagi khabar angin mereka bakal disingkirkan dan diganti dengan pemain import baharu apabila jendela perpindahan pemain dibuka, pertengahan bulan ini.

Selain itu, turut difahamkan kedudukan Jitzono dalam pasukan juga masih samar kerana ada desas-desus mengatakan dia mungkin turut diganti sekiranya ada pemain yang lebih baik.

Sementara itu, kedudukan seorang lagi pemain import, Cerina, boleh dikatakan masih kukuh kerana masih memiliki kontrak bersama Sabah sehingga tahun depan.

Advertisement

Must Watch Video