Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan kekesalannya terhadap insiden yang menimpa penyerang skuad kebangsaan itu.
Dua pemain negara, Akhyar Rashid dan Faisal Halim telah mengalami insiden hitam, bermula dengan pemain pinjaman Terengganu itu yang disamun di Kuala Terengganu Khamis lalu sebelum Faisal yang disimbah asid ketika berada di Damansara pada Ahad.
Bercakap menerusi Nadi Arena, Hannah, meluahkan kekecewaan atas apa yang telah berlaku dan percaya ia tidak sepatutnya berlaku ke atas individu yang telah banyak mengerah keringat mengharumkan nama negara.
"Tragedi seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada atlet kita atau mana-mana manusia sekalipun" katanya menerusi temubual bersama Wartawan Fina Nasrom.
Tambah beliau, pihak polis perlu mengambil tindakan paling tegas untuk mengetahui motif sebenar insiden tersebut berlaku untuk mengelak daripada kejadian seperti itu berlaku lagi.
Manakala, hasratnya untuk menjenguk Faisal terpaksa ditangguh demi kebaikan pemain itu yang sedang menghadapi penderitaan hidupnya.
Faisal kini difahamkan berada dalam keadaan serius tetapi masih stabil di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini.
Stadium Astro
Tue May 07 2024