Son Heung-min mengikat masa depannya bersama Tottenham dengan pemain bintang Korea Selatan itu disahkan telah melanjutkan kontrak bersama kelab itu sehingga 2025.
Ia satu pendekatan drastik tidak lama selepas penyerang utama Spurs, Harry Kane, dilaporkan semakin hampir untuk menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dengan satu perpindahan blokbuster.
Son menyertai Spurs daripada Bayer Leverkusen pada 2015 dan berkembang menjadi salah seorang penggempur terbaik dalam EPL dengan menghasilkan 107 gol dan 64 bantuan jaringan daripada 280 penampilan dalam kesemua kejohanan.
Menjadi pemain utama dalam era Mauricio Pochettino dan Jose Mourinho, kontrak asal Son sepatutnya akan tamat pada 2023.
Bagaimanapun, Tottenham memilih untuk mengikat pemain berusia 29 tahun itu, yang dijangka akan memainkan peranan penting di bawah pengurus baru, Nuno Espirito Santo.
Son berkata: "Ia sememangnya satu penghormatan yang besar selepas enam tahun berada di sini, kelab ini telah menunjukkan penghormatan yang amat-amat besar dan saya amat gembira berada di sini.
"Ia seperti tumah saya, terutama dengan penyokong, pemain dan staf. Tidak perlu membuat sebarang pilihan, ia semudah itu.
"Saya amat gembira untuk berada di sini dan tidak sabar untuk bertemu semula penyokong kami tidak lama lagi," katanya.
Muzaffar Musa
Fri Jul 23 2021