Skip to main content

Bola Sepak

Tottenham nikmati ketiadaan pemain baru -- Kane

harry-kane_1ek0mgr74vp7k1q26off08uwq8-(1).jpg
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, mendakwa ketiadaan muka baru dalam pasukan ketika jendela perpindahan telah memberikan kesan kepada skuad.

Spurs menjadi satu-satunya pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang tidak membawa masuk pemain baru bagi menghadapi saingan 2018/19, namun situasi itu tampak tidak mengganggu persembahan mereka setakat ini.

Pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu memenangi ketiga-tiga aksi liga, termasuk membelasah Manchester United 3-0 di Old Trafford, awal pagi semalam.

Kane menyumbat gol peribadi kedua dalam aksi itu dan pemain skuad kebangsaan England itu mempertahankan polisi yang digunakan Spurs.

"Pengurus pasukan menjelaskan dia tidak akan membawa masuk pemain baru jika tidak perlu," kata Kane.

"Kesan daripada itu, dia membuktikan kepercayaannya kepada kami. Jadi, kini kami membalas kepercayaan itu."

Tanpa kelibat pemain baru dan Son Heung-min yang mewakili Korea Selatan dalam saingan Sukan Asia, Lucas Moura dilihat telah memainkan peranan dalam pasukan.

Pemain Brazil itu, yang menyertai pasukan daripada Paris Saint-Germain (PSG), Januari lalu, menjaringkan dua gol ketika bertemu United, membuatkan Kane memuji impak yang dibawa oleh rakan sepasukannya itu.

"Moura merupakan salah seorang pemain yang mungkin memberikan persoalan dalam kalangan peminat, sama ada dia akan kekal atau meninggalkan pasukan," tambahnya.

"Dia kekal, berusaha keras dan telah menjalankan tugas dengan baik.

"Moura layak menerima tempat dalam pasukan. Dia mahu mengekalkan posisi itu, begitu juga kami.

"Persaingan untuk mendapatkan tempat sangat tinggi dan kami hanya mahu ia berterusan," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video