Skip to main content

Bola Sepak

Tomori dedah Paolo Maldini main peranan besar corak kariernya di Milan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tomori.jpg
Fikayo Tomori memberi penghargaannya kepada legenda merangkap Pengarah Teknikal Milan, Paolo Maldini, yang membantu memperbaiki permainannya untuk kembali ke pangkuan skuad England.

Tomori pada awalnya dilihat sebagai prospek masa depan Chelsea apabila kembali ke kelab itu pada 2019-20 untuk beraksi di bawah pimpinan Frank Lampard yang juga pernah mengasuhnya di Derby County pada musim sebelumnya. 

Dalam Liga Kejuaraan itu, Tomori tampil 47 kali ketika Derby mara ke play-off dan dia membuktikan antara pilihan yang menarik sebaik kembali ke Stamford Bridge dengan membuat 15 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kesemuanya sebagai pemain utama -- pada 2019-20.

Begitupun, nasibnya berubah apabila The Blues memancing Thiago Silva pada awal 2020-21 lalu Tomori mula diketepikan dan apabila Januari tiba, dia hanya terbabit dalam satu perlawanan EPL. 

Tomori kemudian berkelana ke Milan secara pinjaman dan dengan segera memantapkan dirinya dalam pasukan ketika menjalin kerjasama yang mantap dengan Simon Kjaer. 

Meskipun tidak membantu Rossoneri meraih Scudetto pertama dalam tempoh 10 tahun, tetapi mereka mengakhiri kemarau tujuh tahun layak ke Liga Juara-Juara, secara tidak langsung mengundang minat Milan untuk mengekalkannya. 

Tiada pasukan dalam lima liga teratas di Eropah yang mencatat lebih banyak perlawanan tanpa dibolosi di peringkat domestik daripada mereka (lapan) sejak awal Mei lalu, justeru peranan besar Tomori itu membuka ruang buatnya kembali disenaraikan dalam skuad England sempena kelayakan Piala Dunia 2022, lantas pemain berusia 23 tahun berkenaan memuji pengaruh hebat Maldini.

Bercakap kepada wartawan menjelang kelayakan Piala Dunia England menentang Andorra, Tomori berkata: "Ketika dia (Maldini) bercakap dengan saya, saya seperti, 'Wau, ini adalah Paolo Maldini'.






"Memang wujud tekanan memandangkan dia akan menonton setiap perlawanan, dia juga berada di tempat latihan setiap hari. Oleh itu, sebagai pertahanan saya ingin menarik perhatiannya.

"Ketika saya berada di pertengahan pinjaman, kami sempat bersembang, saya bertanya apa pendapatnya mengenai corak permainan saya dan apa yang perlu diperbaiki.

"Dia benar-benar terlibat dengan semua pertahanan dan dengan kehadiran legenda sepertinya, kamu akan mendengarnya. Ia sesuatu yang bagus untuk memilikinya dan dia banyak membantu."

Selepas Lampard meninggalkan kelab London itu, Tomori dalam wawancara berkata apa yang terjadi selepas Lampard dipecat beberapa hari selepas dia dipinjamkan adalah soal peribadi. 

Bagaimanapun, Tomori menjelaskan bahawa dia tidak mahu membuang masa untuk memikirkan perbalahan seperti itu.

"Untuk bersikap adil, sejak saya berada di Milan, saya tidak terlalu memikirkannya," tambahnya. 

"Ia sukar, apabila tidak dapat bermain, sukar.

"Saya mampu mengatasinya, melupakannya kerana ia punca karier saya semakin baik. Saya tidak terlalu memikirkannya, saya mahu terus maju. Ini adalah sebahagian daripada bola sepak.

"Saya mempunyai sistem sokongan yang sangat baik dan sekarang saya telah mengatasi semua itu dan saya mahu terus maju.

"Setiap pemain ingin beraksi dan ketika peluang itu datang daripada sebuah kelab besar seperti Milan, saya sangat gembira, teruja dan saya sangat gembira dapat melakukannya sejauh ini. 

"Kami telah memulakan musim baru dengan baik dan kelab telah menunjukkan kepercayaan besar kepada saya. Saya gembira, yakin dan berasa benar-benar tenang. Ia membolehkan saya berada di sini (kembali bersama England)."

Advertisement

Must Watch Video